Search This Blog

Saturday, January 21, 2012

Dalang tipu skim pukat guna identiti palsu - Polis

BUKIT MERTAJAM — Polis percaya lelaki yang menganjurkan skim pukat ikan menggunakan identiti orang lain untuk menipu sekumpulan pelabur sehingga mereka kerugian dianggar lebih RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan lelaki berusia lingkungan 40-an itu bagi membantu kes berkenaaan.
"Lelaki itu yang dikenali sebagai R.Vijayan dipercayai menggunakan identiti orang lain bagi menipu orang ramai dan mengelak dikesan pihak polis.
"Polis juga tidak menolak kemungkinan dia mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pelaburan yang semakin berleluasa sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ambulans 24 jam sempena Tahun Baru Cina 2012 Majlis anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Azman berkata, setakat ini pihaknya menerima empat laporan polis berhubung penipuan skim berkenaan.
"Siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengesan rangkaian sindiket berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Khamis lepas sekumpulan pelabur satu skim pukat ikan membuat laporan polis selepas wang mereka yang dilabur sejak setahun lepas lesap bersama lelaki yang dipercayai menganjurkan skim itu.
Wakil mereka A.Tulasi berkata kerugian dianggar lebih RM1 juta membabitkan kira-kira 1,500 pelabur yang terpedaya dengan janji pulangan lumayan lelaki berkenaan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment