Arak RM1.7 juta dirampas

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri berjaya menggagalkan dua cubaan seludup minuman keras dalam masa 10 minit, membabitkan nilai cukai kira-kira RM1.7 juta, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Ramli Johari berkata, pihak­nya menahan sebuah van kira-kira jam 7.15 pagi di laluan kereta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Hasil pemeriksaan menemui 50 kotak minuman keras jenama Bacardi dan 39 kotak arak jenama Baileys tanpa cukai, ditutup menggunakan kain berwarna hitam untuk dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM65,400 dengan nilai cukai RM93,269.91,” katanya dalam sidang media di Menara Jabatan KDRM, di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu van berumur 24 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Selang 10 minit kemudian, kira-kira jam 7.25 pagi, kita menahan seorang lelaki berumur 30 tahun yang memandu sebuah van kerana cuba menyeludup masuk sebanyak 80 kotak minuman keras jenama Glenfidich Scotch,” katanya.

Katanya, suspek kedua juga menggunakan taktik sama iaitu menutup kotak berisi minuman keras tanpa cukai dengan kain berwarna hitam bernilai RM48,000, manakala cukai bernilai RM78,191.52.

“Kita percaya kedua-dua suspek mempunyai kaitan berdasarkan taktik yang digunakan. Mereka turut direman bagi membantu sia­satan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek turut berdepan dengan hukuman denda maksimum 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.