Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Amizudin dakwa tak terima dokumen Rais



KUALA LUMPUR 26 Jan. - Penulis blog yang juga ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amizudin Ahmat yang sebelum ini dicari-cari oleh peguam, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, hari ini hadir ke Mahkamah Tinggi di sini untuk memberikan penjelasan berhubung permohonan menghina mahkamah yang dihadapinya.
Amizudin berbuat demikian di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof dalam prosiding komital yang dikemukakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim terhadapnya kerana didakwa melanggar perintah mahkamah dalam satu kes saman sivil yang dihadapinya.
Rais, 70, memfailkan permohonan itu kerana mendakwa Amizudin telah melanggar perintah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah beliau menerusi satu artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Amizudin yang tidak diwakili peguam mendakwa, dia tidak menerima sebarang dokumen yang diserahkan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co sebanyak tujuh kali sebelum ini.
Malahan Amizudin yang mendakwa amat terkejut dengan perkara tersebut berkata, dia telah pergi sendiri ke pejabat peguam berkenaan di sini baru-baru ini untuk membuat pertanyaan.
Muhammad Shafee terdahulunya berkata, pihaknya telah tujuh kali cuba untuk menyerahkan kausa permohonan berkenaan di alamat kediaman Amizudin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang namun tidak berjaya.
Serahan tersebut menurut Muhammad Shafee telah dibuat pada pukul 6.30 petang, 25 November tahun lalu dan juga pada pukul 9.30 pagi dan 4 petang keesokan harinya.
Seterusnya ujar peguam itu, serahan dibuat pada pukul 11.15 pagi dan 6.15 petang pada 29 November tahun lalu dan juga pada pukul 8.45 pagi, esoknya selain pukul 12 tengah hari, 7 Disember 2011.
Pada prosiding pada 13 Januari lalu, Muhammad Shafee juga memaklumkan mahkamah telah membuat temu janji dengan firma guaman yang mewakili Amizudin untuk menyampaikan dokumen itu kepadanya pada 19 Disember 2011, namun dia gagal hadir.
Usaha penyampaian, menurut Muhammad Shafee, diteruskan lagi dalam episod terbaru pada 11 Januari lalu ketika Amizudin menghadiri prosiding rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Zabariah, namun peguam itu mendakwa penulis blog itu langsung tidak menghormati proses mahkamah.
"Semua orang di negara ini tahu kami mencari Amizudin, melainkan Amizudin sendiri yang tidak tahu kami mencarinya,'' kata Muhammad Shafee dengan nada sinis.
Amizudin bagaimanapun memohon supaya prosiding tersebut ditangguhkan bagi memberi peluang kepadanya untuk melantik peguam.
Hakim Zabariah sebelum itu memberitahu Amizudin, dia dikatakan telah melanggar perintah mahkamah yang telah dipersetujui bersama bahawa dia tidak akan menerbitkan komen-komen tersebut lagi namun masih berbuat demikian.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan prosiding itu ditangguhkan dan memerintahkan Amizudin memfailkan afidavit balasan pada atau sebelum 10 Februari ini serta perlu dijawab oleh pihak pemohon pada atau sebelum 24 Februari.
Hakim Zabariah turut menetapkan 2 Mac depan untuk mendengar permohonan Rais itu, selain mengingatkan Amizudin agar hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut.
Sebelum kes ditangguhkan, Muhammad Shafee sempat mempelawa Amizudin hadir sekali lagi ke pejabat beliau untuk mendapatkan semua dokumen yang difailkan pihaknya bagi tujuan perbicaraan tersebut kelak.
Pada 21 November 2011, Rais memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Amizudin, 43, berhubung penghakiman mahkamah tersebut ke atas saman yang difailkan oleh Menteri Kabinet itu pada 31 Januari tahun lalu.
Rais dalam pernyataan tuntutannya, menyatakan, pada 28 Disember 2010, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan satu penerbitan artikel bertajuk, Hei Pak Menteri...mana mau lari...
Pada 19 Julai tahun lalu, Rais memenangi saman itu dan penulis blog terbabit diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada menteri tersebut.

No comments:

Post a Comment