Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Ahli perniagaan bergelar Datuk disamun RM200,000



PULAU PINANG 26 Jan. - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk rugi kira-kira RM200,000 selepas rumahnya di Jalan Kebun Bunga di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah, awal pagi ini.
Kejadian berlaku pukul 3.30 pagi ketika mangsa berusia lingkungan 60-an bersama isteri, pembantu rumah, anak lelaki serta rakan anaknya sedang tidur.
Empat penjenayah dipercayai warga asing bertindak mengumpil salah satu tingkap rumah sebelum memasuki rumah ahli perniagaan itu.
Penjenayah itu kemudian bertindak mengugut keluarga berkenaan dengan senjata tajam iaitu pedang dan pisau yang diambil dari dalam rumah sebelum mengarahkan mereka menyerahkan semua barang berharga.
Suspek juga bertindak mengikat tangan dan kaki kesemua mangsa serta menutup mulut mereka dengan kain sebelum ditempatkan dalam dua bilik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, rompakan berlaku dengan pantas dan penjenayah hanya mengambil kira-kira 10 minit sebelum melarikan diri.
Menurutnya, penjenayah yang menutup separuh daripada muka dengan kain bagi mengelak dikenali mangsa melarikan beberapa utas jam tangan berjenama, barang kemas, berlian serta wang tunai yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM200,000.
"Sebaik selesai, mereka melarikan diri melalui semak dan lorong kecil di belakang rumah dan menaiki kenderaan yang dipandu rakan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis Polis Diraja Malaysia Bersama Pelanggan di Bayan Baru hari ini.
Zahruddin berkata, mangsa berjaya melepaskan diri kira-kira 30 minit kemudian sebelum menghubungi polis.
"Kita sudah mengenal pasti suspek melalui cara mereka melakukan jenayah dan polis sedang giat menjalankan siasatan bagi menangkap mereka.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjenayah ini diminta tampil memberi maklumat bagi memudahkan siasatan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment