Tarikh : December 30, 2011
KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Datuk Shamsulbahrin Ismail, 45, dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan berasingan menipu Pengarah Syarikat National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan bayaran bagi perkhidmatan rundingan dan nasihat sehingga mangsa menyerahkan cek berjumlah RM1.755 juta, antara November dan Disember tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Resources Sdn Bhd itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan berkenaan.
Bagi setiap tuduhan, Shamsulbahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim, Ahmad Zamzani Mohd Zin menetapkan tertuduh dijamin mahkamah dengan RM300,000.00 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 31 Januari 2012.
'via Blog this'