KUANTAN - Seramai 23 orang hilang tempat tinggal apabila lima rumah separuh papan di Kampung Batu Lima Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini, musnah dalam kebakaran petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, sebaris rumah sewa milik penduduk setempat gagal diselamatkan apabila api yang bermula dari sebuah rumah di bahagian tengah begitu marak menyebabkan penghuninya termasuk jiran hanya mampu melihat kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Satu Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira jam 5.20 petang dengan tiga jentera bomba bersama 15 anggota dari Balai Bomba Kuantan, Taman Tas serta Indera Mahkota bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihaknya berjaya mengawal kebakaran 30 minit kemudian, manakala angin kencang ketika kejadian menyebabkan rumah separuh papan yang disewa empat keluarga termasuk pelajar dari Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) musnah.
“Kedudukan rumah yang sebaris menyebabkan api cepat merebak, selain itu teka-nan air yang rendah turut melambatkan usaha mengawal kebakaran yang menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM285,000.
“Kita masih menyiasat punca kebakaran yang didakwa bermula dari rumah nombor dua sebelum api merebak ke kiri dan kanan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak tampil memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran.
Baginda bertitah, walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa bencana, namun semua pihak juga perlu membantu bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Baginda turut meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat meneruskan siasatan punca kejadian yang menyebabkan lima rumah musnah dalam kejadian jam 5 petang semalam.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan membantu kesemua mangsa kebakaran menggunakan tabung bantuan bencana negeri.
Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, buat masa ini semua mangsa ditempatkan di Dewan Mat Kilau dekat sini sehingga kerajaan mendapatkan rumah sewa yang baru.
Menurutnya, Unit Perumahan Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada mangsa bencana untuk mendapatkan kediaman secepat mungkin.
Sementara itu penuntut Kipsas, Wan Mohd Faris Idris, 21, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan, Mohd Hafiz Zainul Abidin sedang tidur sebelum terjaga kerana mendengar jiran mengetuk pintu rumah menyuruh mereka keluar.
“Kami hanya mampu berlari menyelamatkan diri manakala semua barang penting tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Menurutnya, dia dan rakan tinggal sehelai sepinggang kerana tidak dapat menyelamatkan barang berharga kerana api merebak cepat selain angin kuat.
“Semua buku rujukan dan dokumen penting musnah sekelip mata” katanya.
Seorang lagi mangsa, Junaini Loke Ibrahim Loke, 33 berkata, ketika kejadian dia bersiap untuk menunaikan solat Asar sebelum bergegas keluar dari rumah selepas suaminya menjerit api yang bermula dari rumah bahagian tengah yang ketika itu tiada penghuni.
Lima rumah musnah terbakar - Jenayah - Sinar Harian: