Utusan Malaysia Online - Jenayah:
Oleh NAZMIL NASIRUDDINpengarang@utusan.com.my
Mohd. Zamberi Abdul Aziz menunjukkan sebahagian dokumen kad pengenalan diri yang dipalsukan oleh sindiket melibatkan tiga lelaki warga Myanmar di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 6 Dis. - Siapa sangka di sebalik kondomonium mewah di Jalan Kuching, ibu kota terselindung sindiket pemalsuan dokumen kad pengenalan diri berteknologi tinggi yang didalangi tiga lelaki warga Myanmar.
Kegiatan haram yang dipercayai bergerak sejak setahun lalu itu berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen dalam satu serbuan pada pukul 1.30 tengahari semalam setelah intipan selama dua bulan dilakukan.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, Mohd. Zamberi Abdul Aziz berkata, jenis dokumen pengenalan diri yang dihasilkan antaranya pasport Malaysia, MyKad, kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan lesen memandu yang memakan masa tidak sampai 10 minit untuk disiapkan.
"Ketiga-tiga suspek termasuk seorang yang masih bebas dikatakan turut hidup mewah kerana mampu mengaut keuntungan melebihi RM30,000 sebulan atau RM36,000 hasil jualan pasport Malaysia pada harga RM18,000 setiap satu.
"Kegiatan itu turut membabitkan pemalsuan pasport negara lain (RM250 satu), visa Malaysia (RM500 setiap satu) dan MyKad (RM300 setiap satu). Kad UNHCR pula dijual RM30 setiap satu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Zamberi berkata, pihaknya juga menemui 10 pasport Malaysia, 57 pasport Myanmar, 21 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport Thailand dan satu pasport India serta 30 Mykad asli dipercayai dipalsukan serta dibeli menerusi orang tengah.
"Kami juga menemui 93 cop Imigresen Malaysia dan Imigresen Myanmar palsu, 20 keping pelekat visa Malaysia palsu, 61 keping kad UNHCR dan pas lawatan kerja sementara (PLKS).
"Peralatan memprosesnya seperti kertas pelekat keselamatan, mesin pencetak, komputer dan empat telefon bimbit dipercayai milik suspek turut ditemui di lokasi A1-32-01 Sri Putramas 2," katanya.
Sehubungan itu, pihak Imigresen menahan kedua-dua lelaki warga Myanmar berusia 30-an itu dilokap Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 12(1)(f) Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
"Kami masih menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa mereka di mahkamah.
"Seorang lagi suspek yang juga dipercayai rakan mereka masih cuba dikesan identiti dan lokasi suspek ketiga bersembunyi serta hanya menunggu masa sesuai untuk menahannya," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah mendapatkan pasport asli Malaysia, MyKad dan kad UNHCR untuk dipalsukan.
"Selepas itu ia dijual kepada mangsanya yang terdiri daripada warga asing dengan harga daripada RM30 hingga RM18,000 bergantung kepada jenisnya," katanya.
Beliau mendapati sindiket berkenaan juga mampu meniru sehingga lebih 90 peratus ciri keselamatan yang ada pada setiap dokumen perjalanan dan pengenalan diri serta PLKS bagi mengelirukan pihak berkuasa.
"Justeru, kita mahu mengingatkan warga asing supaya mendapatkan PLKS yang sah dan tidak berurusan dengan orang tengah bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket tertentu," katanya.