Tarikh : November 24, 2011
- Seramai 25 petani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, Kampung Padang Terap di sini, terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta akibat tanaman padi yang diusahakan di tanah seluas 242 hektar musnah ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.
Wakil petani, Mustapha Mamat, 54, berkata, tanaman yang diusahakan secara berkumpulan melalui skim Mini Estet Padi (MEP) di bawah PPK itu diusahakan sejak 2002 dan merupakan punca rezeki utama penduduk di kawasan berkenaan.
“Apabila tibanya musim menuai, setiap seorang petani di sini memperoleh hampir RM3,000 daripada hasil tanaman padi yang diusahakan secara berkumpulan.
“Namun bencana banjir yang berlaku pada setiap tahun menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian disebabkan keseluruhan tanaman di sini ditenggelami air,” katanya kepada Sinar Harian.
Mustapha berkata, para petani mengharapkan agar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dapat menjalankan siasatan dan datang menjenguk bagi menyelesaikan masalah terbabit.
“Perkara ini pernah diajukan kepada pihak atasan namun bantuan tidak disalurkan secara menyeluruh dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani.
“Bukan ingin meminta simpati, namun nasib kami yang hanya mengharapkan punca pendapatan daripada hasil tanaman ini harus dibela dan diberi perhatian kerana kami tiada tempat mengadu,” katanya.
Sementara itu, menurut Mohd Nor Taib, 63, dia terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit akibat banjir di kawasan terbabit.
“Saya harap pihak Kada dapat selesaikan masalah ini dengan segera dan mencari jalan penyelesaian dengan tindakan proaktif. Jika masalah ini dibiarkan, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mengundang rasa marah dalam kalangan petani.
“Kami hanya ingin menegakkan hak kami sebagai petani di sini lagipun mesin menuai padi juga tidak mencukupi dan ia menyebabkan kerja-kerja penuaian tergendala,” katanya.
'via Blog this'