
BAGAN SERAI - Mangsa serangan babi hutan, Musa Ramli, 53, dari Parit Sungai Dungun Bawah, Kuala Kurau, di sini, mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya ketika sedang bertani, 17 November lalu.
Musa berkata, dia seolah-olah mati hidup kembali apabila sewaktu menyulam anak padi yang mati berusia sebulan di sawah tempoh hari, dia tiba-tiba di serang seekor babi hutan yang ganas, kira-kira jam 10.00 pagi, Khamis lalu.
Menurutnya, ketika sedang membongkok menyulam anak padi itu, secara tiba-tiba diserang seekor babi hutan selain tidak sempat melarikan diri.
“Binatang ganas ini terus menyondol paha kiri saya menyebabkan saya tersungkur dan babi itu terus menyerang menyebabkan tiga tempat paha kanan cedera.
“Saya cuba menepis dengan kedua-dua belah tangan, tetapi malang kedua-dua tapak tangan saya cedera dipercayai terkena siung babi hutan itu, akibatnya tapak tangan kanan saya luka dan tertusuk,” katanya ketika ditemui di Wad 14 Hospital Taiping (HT) lewat petang, kelmarin.
Katanya, dua anaknya Mohd Hairyee, 24, dan Mohd Khamis, 26, yang juga berada di sawah berhampiran terdengar jeritannya meminta tolong sebelum datang membantu.
“Syukur saya selamat walaupun mengalami luka di beberapa bahagian badan.
“Kini keadaan saya lebih stabil, hanya perlu menjalani beberapa rawatan untuk memulihkan luka yang ada,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khamis berkata, dia berada di sawah kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, setelah diberitahu oleh rakan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, dia segera berkejar mendapatkan bapanya dengan menggunakan motosikal dan setiba di tempat kejadian, terdengar suara bapanya mengerang kesakitan selain melihat babi hutan itu masih mengganas.
“Adik saya, Mohd Hairyee, juga datang menolong, manakala sepupu, Mohd Zambri Rashid, datang membawa parang.
“Mohd Zambri dan Mohd Hairyee, berjaya menangkap dan menarik babi hutan ini daripada terus menyerang bapa dan saya menggunakan parang menetak leher babi hutan itu hingga mati,” katanya.
Katanya, binatang terbabit dipercayai datang dari hutan kelapa sawit di sebelah darat Parit Sungai Dungun.
“Memang ada penduduk kampung telah melihat binatang terbabit sebelum ini, dalam kawasan hutan kelapa sawit itu.
“Dipercayai binatang itu mengalami kecederaan kerana sehari sebelum kejadian, ada pemburu menembak binatang terbabit tetapi tidak mati,” katanya.