KOTA BHARU: “Sepatutnya saya bekerja hari ini, tetapi tidak tahu mengapa hati tergerak untuk pulang ke kampung pada saat akhir seolah-olah ada perkara buruk akan berlaku,” kata Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Kementerian Luar Negeri, Noraini Abdul Hamid, 28, semalam.
Noraini yang baru tiba di rumah keluarganya di Pondok Beris Kubor Besar, Bachok selepas melalui perjalanan lebih 500 kilometer terkejut kerana kurang tiga jam tiba di rumahnya, dia dimaklumkan mengenai kematian adiknya, Abdul Hanif Abdul Hamid, 18.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, perjalanan pulang dua sahabat ke rumah mereka berakhir tragedi apabila seorang terbunuh selepas Proton Iswara Aeroback mereka naiki hilang kawalan sebelum merempuh kedai di Kampung Chicha, Kubang Kerian.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher manakala rakannya yang juga pemandu kereta, Mohd Ridzwan Raja Azmi, 22, dari Kampung Gunong, Bachok, hanya cedera ringan.
Sebelum kejadian, dua sahabat terbabit dikatakan keluar rumah kira-kira jam 10 malam untuk bertemu rakan selain bersiar-siar di pasar malam Wakaf Che Yeh, dekat sini, untuk membeli sarung telefon bimbit.
Kereta berkenaan dari arah Pasir Tumboh dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah kedai di kawasan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan alat pemotong khas sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Noraini, anak keempat daripada lapan beradik berkata, dia tiada perancangan pulang ke kampung sempena Aidiladha selain diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk bertugas.
“Kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu, saya tergerak pulang ke kampung sedangkan tidak ada perancangan sebelum ini, apatah lagi perasaan saya tidak begitu seronok untuk menyambut Aidiladha.
“Bayangkan tidak sampai tiga jam berehat di rumah selepas berjalan jauh menaiki kereta hampir 15 jam termasuk mengharungi kesesakan dari Putrajaya, akhirnya berita sedih diterima,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir mereka berhubungan melalui telefon minggu lalu dan arwah ada meluahkan hasrat untuk ke Kuala Lumpur mencari kerja mekanik.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Hamid Abdul Salam, 58, berkata kali terakhir dia bertemu anaknya selepas arwah meminta wang untuk keluar bersama rakannya menaiki sebuah kereta jam 10 malam.