KUALA LUMPUR : Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk nyaris maut selepas ditembak dua lelaki yang menyamar polis dari arah dekat sebelum melarikan kereta milik rakan mangsa dalam kejadian di Jalan Maarof, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Datuk R Jeeventhiran, 35, dalam perjalanan dari rumahnya ke Bangsar untuk menemui rakannya.
Katanya, ketika tiba berdekatan kawasan pusat beli-belah Mid Valley, kereta BMWnya dilanggar sebuah kereta Proton Perdana V6 berwarna hitam bercermin gelap dari arah belakang.
Menurutnya, disebabkan curiga dengan kenderaan itu, dia hanya memperlahankan kenderaan tetapi keretanya dilanggar dua kali lagi hingga terpaksa memberhentikannya di hadapan kuil di Jalan Maarof.
Katanya, dalam perjalanan itu, dia sempat menghubungi rakannya dan memintanya datang ke kawasan kuil itu. Sebaik memberhentikan kenderaannya, kereta yang melanggarnya turut berhenti pada jarak 50 meter.
“Kemudian, seorang lelaki hanya memakai kemeja-T putih keluar dari kereta dan disebabkan saya berseorangan ketika itu, saya hanya menurunkan sedikit cermin kereta tetapi lelaki terbabit tiba-tiba naik angin dan memaki-hamun selain meminta saya keluar dari kereta.
“Saya enggan menuruti arahan lelaki itu dan memintanya menunggu sementara rakan saya tiba di lokasi kejadian, tetapi rakan lelaki itu keluar dari kereta dan berjalan ke arah kereta saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, ketika itu rakannya baru tiba di lokasi kejadian dengan kereta Perdana V6 menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit berbisik sesuatu sebelum mengeluarkan satu kad kuasa dari poket seluar.
Katanya, lelaki itu menunjukkan kad kuasa tertulis anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan memintanya keluar dari kereta dengan alasan melanggar kenderaan mereka.
“Disebabkan percaya, saya keluar dari kereta ditemani rakan saya sebelum mereka meminta saya membayar ganti rugi untuk kerosakan kenderaan.
“Disebabkan bukan salah saya, saya meminta mereka mengikut saya ke Balai Polis Pantai untuk membuat laporan dan apabila saya berjalan semula ke arah kereta, seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah saya,” katanya.
Menurutnya, akibat risau dicederakan, dia dan rakannya berlari ke arah kereta namun lelaki itu melepaskan tembakan pertama mengenai pinggangnya dan tembakan kedua dilepaskan ke arah rakannya tetapi bernasib baik kerana tembakan itu tersasar.
Katanya, dalam keadaan berdarah, dia terus masuk ke dalam kereta dan meminta rakannya mengikutinya sebelum memecut ke arah sebuah hospital swasta yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Jeeventhiran berkata, lelaki itu cuba mengekori kenderaannya tetapi selepas melihat dia masuk ke arah kawasan hospital, mereka terus melarikan diri.
“Sebaik tiba di hospital, saya sudah tidak sedarkan diri dan hanya sedar selepas selesai dibedah kira-kira jam 9 pagi semalam,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian ususnya dan kini dilaporkan stabil.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan, rakannya dengan bantuan pasukan peronda dari Balai Polis Pantai kembali ke lokasi kejadian dan mendapati kereta Proton Perdana V6 milik rakannya sudah tiada.
Katanya, rakannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sudah merakam keterangannya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya sudah menerima laporan kejadian itu.