
CHEE CHENG WAN
TIDAK dinafikan ramai yang akan meninggalkan rumah untuk pulang berhari raya di kampung halaman setiap kali menjelang musim perayaan.
Rumah yang ditinggalkan tanpa penghuni dalam tempoh tertentu boleh menarik perhatian penjenayah untuk memecah masuk.
Justeru, apakah langkah yang sewajarnya dilakukan bagi mereka sebelum pulang berhari raya agar jenayah seperti itu dapat dielakkan?
Hakikatnya, perkongsian bijak antara pihak polis dan penduduk setempat amat penting dalam memastikan persekitaran kediaman selamat.
Wartawan Meja Khas Utusan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar, BARIQ RAMADHAN, mengupas isu jenayah pecah rumah yang kerap berlaku ketika musim perayaan.
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Jenayah pecah rumah ketika Hari Raya Aidilfitri meningkat hampir 50 peratus pada setiap tahun.
Trend jenayah pecah rumah tersebut meningkat mendadak dalam tempoh seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Risikan Operasi dan Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Chee Cheng Wan berkata, tahun lalu, 537 kes pecah rumah dicatatkan pada seminggu sebelum raya dan 774 kes seminggu selepas raya iaitu peningkatan 237 kes atau 44.1 peratus.
Manakala pada 2009 dalam tempoh sama, jumlahnya meningkat 175 kes iaitu daripada 674 kepada 849 kes.
“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 pula, 483 kes pecah rumah dilaporkan seminggu sebelum raya manakala 726 kes pada seminggu selepas raya.
“Ia adalah peningkatan 50.3 peratus atau 243 kes,” katanya di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Cheng Wan berkata, mangsa selalunya sedar bahawa rumah mereka dipecah masuk hanya selepas pulang dari kampung.
“Mangsa tidak tahu adakah rumah mereka dimasuki sebelum atau selepas hari raya dan kebiasaannya mereka pulang selepas hari raya dan menyedari rumah dipecah masuk.
“Perkara seperti itu menyebabkan peningkatan ketara kes-kes pecah rumah pada seminggu sebelum dan selepas raya,” katanya.
Bagi mengurangkan kadar jenayah, beliau berkata, pihak polis mengambil beberapa tindakan termasuk rondaan bermotosikal dan berkereta ke kawasan-kawasan perumahan terutama melibatkan laporan daripada orang ramai.
Polis turut menyeru penduduk terutama jiran tetangga yang masih belum pulang berhari raya agar sentiasa berhubung dengan mereka bagi mencegah kejadian jenayah di tempat mereka.
“Orang ramai tidak mempunyai kuasa menangkap dan jika benar mereka adalah penjenayah, mungkin mengundang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Pun begitu, katanya, kes jenayah pecah rumah keseluruhan untuk tahun kebelakangan ini menurun dan statistik terbaru menunjukkan dari 1 Januari hingga 15 Ogos lalu, 17,912 kes telah dicatatkan.
Berbanding bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, sebanyak 20,251 kes dicatatkan iaitu penurunan 11.5 peratus.
Cheng Wan berkata, penurunan keseluruhan itu berlaku, antaranya disebabkan oleh program yang dilaksanakan seperti Rakan Cop dan pengawasan komuniti dalam usaha mencegah jenayah.
“Hubungan dengan polis setempat amat penting kerana mereka adalah pihak yang paling hampir dengan penduduk dalam menyelesaikan sebarang kejadian jenayah,” katanya.