ULU TIRAM: “Akibat tidak tahan dengan gangguan lima along yang menuntut lebih RM300,000 serentak, saya sanggup meminum racun serangga perosak pada Jun lalu untuk membunuh diri,” dakwa seorang mangsa along, A Sacitheran, 36, di sini, semalam.
Berikutan itu, Sacitheran terlantar di Hospital Sultan Ismail (HSI) selama dua bulan malah turut hidup umpama pelarian apabila dia sekeluarga terpaksa berpindah ke 11 lokasi berbeza dalam tempoh setahun kerana bimbang dengan ancaman along terbabit.
Menurut bapa kepada tiga anak termasuk seorang yang menghidap sindrom down itu, berikutan gagal melangsaikan hutang along terbabit, dia menerima pelbagai ugutan hingga tidak dapat keluar bekerja.
“Saya mula terjebak dengan pinjaman along apabila syarikat pembinaan di Taman Desa Cemerlang mengalami kerugian RM1.3 juta, pada 2009.
“Atas desakan seorang kontraktor yang juga pemaju utama sebuah projek pembinaan yang dijalankan di Mersing untuk membayar ganti rugi, saya terpaksa mendapatkan pinjaman daripada beberapa along selain kenalan secara berperingkat,” katanya, semalam.
Menurut Sachiteran, usahanya melunaskan hutang terbabit dengan menjual barangan di syarikat kepada pihak tertentu gagal apabila kontraktor terbabit turut didakwa memecah masuk pejabatnya dan melarikan pelbagai barangan bernilai hampir RM300,000.
“Saya menuntut kembali wang ganti rugi yang diserahkan kepada kontraktor terbabit tetapi dia tidak mempedulikannya,” katanya.
Menurut Sacitheran, keluarganya juga dihalau dari kediamannya di Taman Bestari Indah pada hujung 2009 sebelum mereka berpindah ke sebuah flet di Kuala Lumpur dan tinggal di sana selama lapan bulan.
Bagaimanapun, Sachiteran berkata, keluarganya kembali diancam along selepas mereka mengesan alamat tempat tinggalnya.
“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori dan kembali ke Johor, sepanjang tempoh setahun, kami sudah berpindah ke 11 lokasi termasuk menyewa di hotel bajet selain pernah terputus bekalan makanan.
“Akibat tidak berkerja, kami terpaksa bergantung kepada bantuan bapa mentua yang bekerja sebagai tukang cuci” katanya.
Bukan itu saja, malah dua anak Sachiteran iaitu Misha, 9, dan Pauline, 12, juga gagal ke sekolah sejak lebih dua bulan lalu.
Sachiteran turut mendakwa gagal membawa anak bongsu, Fiona yang berusia lapan tahun untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan kerana bimbang diserang along.
“Saya sudah membuat lebih 10 laporan polis berkaitan perkara ugutan along dan yang terbaru di Balai Polis Pelangi Indah, Ulu Tiram pada 16 Ogos lalu.
“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu kami menyelesaikan masalah ini, pada masa sama saya mahu menyekolahkan anak semula selain berusaha mendapatkan pekerjaan sesuai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Negeri Johor, Michael Tay berkata, pihaknya yang sudah berjaya mengendalikan dan menyelesaikan 30 kes membabitkan mangsa along bersedia menawarkan nasihat kepada keluarga Sacitheran.
“Sebelum membantu keluarga itu, kami akan menyiasat bagi mendapatkan gambaran jelas berkaitan permasalahan dialami lelaki itu.
“Kemudian kami akan berusaha untuk menghubungi along dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai,” katanya ketika dihubungi, semalam.hmetro