CHANGKAT JERING - “Mungkin inilah dugaan di bulan Ramadan untuk makcik sekeluarga dan kenangan yang tidak dapat dilupakan hingga ke akhir hayat makcik,” luah Zabidah Bidin, 79.
Warga emas ini yang tinggal bersama seorang anaknya di Kampung Paya di sini tidak menduga rumah pusaka yang didiami selama ini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pagi semalam.
Dalam kejadian ini, dua beranak nyaris maut dan berjaya menyelamatkan diri namun kehilangan barangan berharga dan kini tinggal sehelai sepinggang.
Zabidah berkata, dia yang baru sahaja masuk ke rumah namun terkejut melihat asap berkepul-kepul dari bahagian belakang menyebabkan dia menjerit memanggil anaknya, Wan Ramli Wan Ayub, 47, untuk keluar dari rumah berkenaan.
Menurutnya, walaupun dalam keadaan kelam kabut, dia cuba untuk mendapatkan kad pengenalannya serta beberapa dokumen lain namun impiannya itu tidak kesampaian apabila api semakin marak.
“Makcik hanya melihat sahaja rumah ini terbakar dan tidak menyangka akan berlaku kejadian sebegini di rumah pusaka ini.
“Segala dokumen penting tidak dapat diselamatkan dan rumah pusaka yang kami diami selama ini musnah di hadapan mata kami sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Zabidah berkata, bahagian belakang rumahnya itu telah disewakan dua bulan yang lalu namun masih terdapat beberapa barangan milik anaknya.
“Sepatutnya ketika raya nanti, anak saya akan mengambil baranganya tetapi semuanya tidak dapat diselamatkan dan hanya tinggal kenangan sahaja.” katanya.
Terkejut dengar jeritan ibu
Anaknya, Wan Ramli berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah sedang berbalas sitem khidmat pesanan ringkas (SMS) bersama seorang kenalan tetapi dikejutkan dengan jeritan ibunya.
Katanya, dia mengambil langkah pantas untuk mencari air bagi memadam kebakaran tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana sumber air rumah yang terhad.
“Selepas mendengar jeritan ibu, saya bingkas bangun dan berusaha mengeluarkan barangan yang boleh diselamatkan.
“Apa yang menyedihkan apabila persiapan untuk hari raya nanti turut musnah dalam kejadian ini dan saya menganggapnya ketentuan Ilahi dan redha dengan apa yang berlaku,”katanya.
Bomba selamatkan kenderaan hampir terbakar
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.45 pagi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.
Menurutnya, seramai 15 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi yang terdiri daripada rumah separa kayu dan batu terbakar hampir 80 peratus.
“Kami berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian dan berusaha menolak kereta, motosikal dan juga van milik penyewa jauh dari kebakaran bagi mengelakkan kebakaran menyambar ke kawasan berhampiran,”katanya.
Bincang kutip derma
Bagi Ketua Kampung Changkat Jering, Abdul Wahab Ibrahim berkata, kejadian seumpama ini pernah berlaku 20 tahun yang lalu, bagaimanapun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) belum memutuskan bentuk bantuan yang akan diberikan.
Katanya, perbincangan akan diadakan untuk membuat kutipan derma dan juga menyediakan penempatan sementara buat keluarga ini.
“Kita juga sudah memaklumkan kejadian ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Trong yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin.
“Tindakan selanjutnya juga sudah diambil wakil rakyat yang segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mencari jalan penyelesaian masalah ini,” katanya.
Bantuan segera ringan beban
Sementara itu, Pegawai JKM Larut Matang dan Selama, Zamrry Mohamad berkata, dalam kejadian ini, bantuan segera seperti barangan keperluan akan diberikan kepada mangsa.
“Bantuan ini akan diikuti tindakan susulan iaitu memberi bantuan mengikut tafsiran kos kerugian akibat kejadian setelah penilaian dilakukan pegawai terlibat.
“Diharapkan keluarga mangsa dapat bersabar dan redha dengan ketentuan ini,” katanya.
Hadir sama melawat mangsa kebakaran, wakil Ahli Parlimen Bukit Gantang dan juga Muslimat Pas Kawasan Bukit Gantang.
Sinar Harian cuba mendapatkan penyewa untuk ditemubual bagaimanapun, penyewa tidak kelihatan ketika kejadian berlaku.-SH