BAKAU TINGGI – Akibat kaki disambar api, pelajar Sekolah Menengah (SM) Teknik Kemaman, Wan Ahmad Amiruddin Mohamad, 16, melecur teruk pada kedua-dua belah kaki dalam kejadian malang pada 21 Jun lalu.
Peristiwa tidak disangka itu turut menyebabkan dia ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar pada 10 Julai lalu selepas menjalani pembedahan menampal kulit paha pada kaki yang melecur teruk.
Wan Ahmad Amiruddin yang juga anak bongsu enam beradik ketika dikunjungi Sinar Harian berkata, kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi di rumah rakannya di Bukit Kuang, Kijal selepas mereka membaiki motosikal yang rosak.
“Sebelum kejadian, saya dan kawan menaiki motosikal ke sekolah, bagaimanapun, ketika sampai separuh jalan iaitu di Kampung Mak Chili, motosikal yang kami naiki tiba-tiba rosak. Justeru, saya dan kawan menunda motosikal itu ke rumah kawan saya.
“Ketika kami membaiki motosikal berkenaan, terdapat sisa petrol atas lantai rumah dan juga dalam bekas berdekatan kami,” katanya.
Wan Ahmad Amiruddin berkata, selepas penat membaiki motosikal, kami berhenti rehat seketika dan bermain pemetik api.
“Ketika itulah, api tiba-tiba menyala dalam bekas berisi petrol berkenaan,” katanya.
Bercerita lanjut, kata Wan Ahmad Amiruddin, panik dengan keadaan itu dan tidak mahu api terus merebak, dia mengambil bekas itu untuk dibuang ke kawasan lapang.
“Belum sempat berbuat demikian minyak petrol dan api menyambar kedua-dua belah kaki saya.
“Akibat terlalu sakit api menyambar kaki, saya terjun ke dalam sebuah baldi berisi air yang berada di situ sebelum rakan membawa saya ke Hospital Kemaman,” katanya.
Namun, disebabkan melecur teruk pada bahagian betis hingga kaki terutama kaki kanan, dia kemudiannya dirujuk ke HSNZ.
Malang datang bertimpa kerana ketika itu bapanya, Wan Mohd Abd Rahman, 61, juga sakit gara-gara pihak hospital tersalah memberi ubat.
Sementara itu, ibunya, Zaima Ngah, 53, berkata, bagi memastikan anaknya cepat pulih doktor mengambil kulit bahagian paha untuk ditampalkan pada kaki anaknya kerana daging betis dan kakinya masak disambar api.
Katanya, kecederaan anaknya itu dijangka pulih dalam tempoh sebulan lebih sebagaimana dimaklumkan doktor.
Justeru, kata Zaima, kaki anak bongsunya itu akan berbalut sepanjang Ramadan namun dia bersyukur kerana kos pembedahan ditanggung pihak sekolah.
Sementara itu, nasib malang yang menimpa pelajar terbabit mendapat perhatian Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, Hanafiah Mat yang turun padang menziarahi sambil menghulurkan bantuan.-SH