Sindiket berkenaan dikatakan membuat tawaran palsu kepada PATI kononnya mereka boleh menguruskan pendaftaran berkenaan, selain menjanjikan peluang pekerjaan di negara ini dengan gaji yang lebih lumayan.
Sumber Jabatan Imigresen negeri memberitahu, pihaknya sedang memantau penipuan ini melalui kain rentang yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini.
"Sindiket ini dikesan menawarkan perkara yang tidak wujud melalui Program 6P ini," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia hari ini.
Program 6P ditangguhkan sementara bagi pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing sebelum ia dimulakan pada 1 Ogos depan.
Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing dilaksanakan dahulu bagi menangani isu berhubung tindakan pekerja asing sah yang merancang melarikan diri daripada majikan asal untuk menyertai Program 6P.
Menurut sumber itu, sindiket ini cuba memancing pekerja sah dan tidak sah di kilang berskala kecil atau mana-mana sektor perkhidmatan kononnya mereka merupakan wakil yang telah dilantik oleh KDN untuk tujuan berkenaan.
"Lebih malang, sindiket ini memujuk pekerja kilang yang sah supaya membuang pasport mereka, melarikan diri dan didaftarkan di bawah Program 6P," katanya.
Difahamkan, sindiket ini menawarkan perkhidmatan sehingga RM500 ke RM1,500 untuk mendaftar seorang PATI.
Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman ketika ditemui hari ini mengesahkan wujudnya syarikat yang tidak bertanggungjawab itu dan pihaknya kini memantau perkembangan itu dengan serius.
Utusan Malaysia Online - Jenayah