KUALA LUMPUR: “Takpelah tuan, berani buat, berani tanggung”, demikian ayat terakhir disampaikan Ahmad Sarbaini Mohamed kepada pegawai atasannya dua hari sebelum dia ditemui mati di bangunan SPRM, April lalu.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Kastam 1, Ahmad Maher Abdul Jalil, 51, di Mahkamah Koroner di sini, semalam, perkara itu dimaklumkan arwah Ahmad Sarbaini di koridor tangga pejabat pada 5 April lalu.
Sebelum itu, arwah memberitahunya dia pergi ke SPRM pada 4 April lalu untuk memberikan keterangan dan mengaku terima rasuah.
“Saya yang terkejut dengan pengakuan arwah itu bertanya kenapa dia mengaku dan arwah jawab, dia takut kena tidur lokap.”
“Kemudian saya menasihatkannya bahawa dia sudah buat kesilapan dan beritahu tidak mengapa jika tidur di lokap, kalau mengaku kita lagi susah,” katanya menjawab soalan peguam bela Awtar Singh.
Kemudian pada 4 April lalu, dia sekali lagi dapat bertemu arwah Ahmad Sarbaini di pejabatnya dan mereka berbincang berhubung perkara itu dalam bilik operasi.
“Arwah cakap dia dianiaya oleh ejen kerana terima rasuah RM30.”
Menurutnya, arwah memberitahu ‘Saya tak terima tuan, saya Penolong Pengarah Kastam, tak padan RM30’.
Ketika diminta menggambarkan personaliti arwah Ahmad Sarbaini, arwah disifatkan sebagai seorang pegawai yang tidak mendatangkan masalah, berdisiplin dan mendengar setiap arahan yang diberikan.
Dia berkata demikian ketika menjadi saksi ke-19 di dalam inkues menyiasat kematian Ahmad Sarbaini, 56, yang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.
Dalam pada itu, seorang rakan baik arwah, Penolong Pengarah Kastam, Azman Jusoh, 45, terkejut selepas diberitahu arwah, dia diherdik pegawai SPRM ketika dibawa ke lokap di Bukit Jalil pada 1 April lalu.
Menurutnya, arwah memberitahunya dia dimaki pegawai SPRM dan dikatakan tidak layak memakai uniform selain menceritakan pengalaman tidur di atas simen lokap yang digambarkan seperti berada di neraka dunia.
Perkara itu diceritakan kepadanya oleh arwah ketika mereka berehat selepas bermain tenis pada 3 April lalu.
Katanya, kali terakhir bertemu arwah pada jam 5.30 pagi, 6 April lalu selepas arwah menghubungi untuk mahu bertemu menyerahkan air mineral, air 100 plus dan dokumen berkaitan kelab tenis.
Dia dimaklumkan arwah akan ke SPRM menukar pengakuan pada hari itu dan mungkin akan ditahan.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat, Abdul Ghani Ali, 57, menafikan mereka-reka cerita untuk menjatuhkan maruah keluarga arwah Ahmad Sarbaini dan mahu menyembunyikan fakta sebenar kematiannya.
Sebaliknya dia memberitahu perkara yang sebenar-benarnya berlaku pada hari kejadian.
Terdahulu, ketika menjawab soalan dikemukakan peguam Datuk Seri Dr Muhamad Safee Abdullah yang mewakili SPRM, Abdul Ghani memberitahu pada 4 April lalu, ketika masuk ke dalam bilik Sheikh Niza, dia ada membaca rakaman percakapan arwah di skrin komputer dan mengaku menerima rasuah.
“Saya tanya dia, apa yang dia buat dengan duit itu.
“Arwah jawab dia sudah belanjakan wang itu,” jelasnya.
Ketika disoal Koroner Aizatul Akmal Maharani, dia mengaku tidak memberikan keterangan berhubung perkara berkenaan dalam laporan polis.
Saksi ke-18 itu turut menafikan ada memberitahu isteri arwah Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah Manap ‘bukan saya tapi orang saya’ ketika bertemu untuk memulangkan buku bank milik arwah di pejabat Kastam kira-kira sebulan selepas kematian arwah.
Sebaliknya, menurut Abdul Ghani Ali, dia berkata ‘bukan saya tapi pegawai saya’ ketika menjawab pertanyaan isteri arwah yang ingin mengetahui dengan siapa arwah bertemu pada hari kejadian.
Inkues bersambung hari ini.
myMetro | Mengaku sebab takut tidur lokap