PULAU PINANG 9 Julai - Seorang penjenayah warga Indonesia mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Paya Terubong, berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Ismail Hashim, Relau, di sini, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, polis mendapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Wira berada dalam keadaan mencurigakan sekitar kawasan terbabit pada pukul 2 pagi.
Beliau berkata, berikutan maklumat itu, sepasukan polis ditugaskan untuk memantau keadaan di lokasi tersebut.
Menurutnya, suspek yang berusia 39 tahun memiliki rekod membabitkan dadah, samun, pecah rumah dan curi sejak tahun lalu ditembak selepas bertindak agresif melepaskan tembakan ke arah polis.
"Polis sebelum itu cuba menghampiri dan memintanya berhenti sebelum suspek memecut laju. Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis hingga menyebabkan mereka terpaksa mempertahankan diri," katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, suspek mati di tempat kejadian dan polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38mm serta beberapa bungkus dadah jenis ganja yang disorok dalam keretanya.
Hasil pemeriksaan, suspek juga didapati memiliki MyKad dipercayai palsu.
Mayat suspek dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Utusan Malaysia Online - Jenayah