Mangsa, Subatra Devi P Kunjan, 38, berkata, dia tidak pernah mengeluarkan wang terbabit dan menyedari kehilangan wangnya apabila mengemas kini jumlah akaun setelah adiknya memasukkan wang sebanyak RM5,000 sehari selepas kejadian itu.
Menurutnya, dia bersama suami, Ambrose Balan, 42, segera ke bank terbabit melaporkan kejadian itu dan meminta pihak bank mengeluarkan kenyataan transaksi wang di akaunnya.
“Saya dapati pengeluaran wang dibuat sebanyak empat kali iaitu tiga kali pada jam 10.11 malam sehingga 10.13 malam di sebuah stesen minyak dan pengeluaran terakhir pada 10.22 malam di sebuah pasar raya.
“Yang menjadi persoalannya, bagaimana individu terbabit boleh mengeluarkan wang itu sedangkan kad ATM masih berada dalam simpanan saya. Kemudian saya meminta pihak bank untuk memberikan :rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti individu itu,” katanya ketika sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah di sini, semalam.
Subatra berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan dinasihatkan supaya mereka meminta pihak bank untuk :menyegerakan proses melihat rakaman CCTV itu agar individu terbabit dapat diberkas.
“Saya dimaklumkan oleh pihak bank, CCTV yang terdapat pada mesin ATM di stesen minyak itu tidak berfungsi dengan baik dan rakaman individu yang mengeluarkan wang saya dapat dilihat menerusi CCTV stesen minyak terbabit sahaja.
"Rakaman hanya menunjukkan bahagian belakang individu itu dan mereka terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan,” katanya.
Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Gelang Patah, Goh Teck Kuan berkata, pihaknya meminta Bank Negara untuk menjalankan siasatan ke atas bank terbabit dan menyarankan bank itu agar mengambil berat terhadap simpanan yang dibuat oleh pelanggan mereka.
“Saya akan memastikan bank terbabit memulangkan semula wang berjumlah RM5,000 milik mangsa kerana kejadian yang berlaku itu adalah kelalaian yang dilakukan oleh mereka. Wang milik mangsa didakwa dikeluarkan oleh pihak ketiga sedangkan kad ATM masih berada dalam simpanannya.
“Selain itu, kami akan memanjangkan perkara ini Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan meminta hakim mengambil keputusan untuk kes itu,” katanya.