Ibunya, Che Mariam Che Pa, 49, berkata, dia tidak menyangka gurauan Mohd Hazlan Ab Ghani, 33, anaknya sulung daripada lapan beradik itu merupakan petanda dia akan meninggalkan mereka sekeluarga.
“Tidak sangka pula, beras itu benar-benar digunakan untuk kenduri tahlil untuknya.
“Dia gemar bergurau dengan jiran dan saudara-mara di sini, namun ia menjadi kenyataan apabila dua hari selepas itu, dia meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan,” katanya semalam.
Hazlan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain di Kampung Jerulong, pada jam 1.15 pagi kelmarin.
Che Mariam berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada 12.30 malam ketika arwah ingin ke rumah adiknya, Mohd Hazli, 28, yang terletak tidak jauh dari rumah.
Menurutnya, sehari sebelum meninggalkan mereka sekeluarga, dia beria-ia menghabiskan masa bersamanya terutama ketika makan malam, sedangkan sebelum ini, dia tidak pernah berkelakuan sedemikian.
“Saya reda dengan pemergiannya dan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Mas pada jam 2.30 petang kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan, ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.
Beliau berkata, Hazlan yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dikatakan dari arah Lemal menuju ke Lati, bertembung dengan Mohd Marwan Wan Adnan, 33, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah bertentangan.
Marwan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala manakala Hazlan meninggal dunia di Hospital Pasir Mas beberapa jam kemudian.
“Saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.