Dalam kejadian jam 3 petang itu, pelajar berkenaan ingin ke dewan badminton berhampiran dan dalam perjalanan mereka terkejut apabila ternampak kaki mayat tersebut lalu bertindak melaporkan pada pengawal keselamatan berhampiran.
“Sebab rasa ingin tahu, saya terus mendekati objek tersebut. Nampak kaki sahaja manakala badan dia tenggelam. Kami terus beritahu pada pengawal berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, berdasarkan kad pengenalan, mangsa dikenali sebagai R Ahgilan, 45, dan alamat terakhir No.20, Jalan Golf Club di sini.
“Pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut. Mayat dijumpai terbaring di sungai itu dengan kesan kecederaan di kepala dan mempunyai kesan tatu di bahagian belakang badan.
“Kaki kanannya kudung dan kad pengenalan diri ditemui pada badan mayat tersebut. Ketika ditemui mangsa berseluar jeans dan baju berbelang biru putih,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, motif kejadian masih belum dikenalpasti dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga segera membuat laporan polis di balai berhampiran atau telefon di talian 05-2542222,” katanya.