MELAKA 14 Jun - Angkara mencuri dompet milik pengunjung surau sebuah pusat beli-belah bagi mendapatkan wang membayar tunggakan sewa rumah, seorang pekerja kilang wanita dihukum penjara setahun dan denda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zalina Shidid, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa mencuri sebuah dompet jenama Cardirino mengandungi kad pengenalan, dua kad kredit, sekeping kad mesin pengeluaran wang automatik dan satu telefon bimbit Nokia E71 bernilai RM1,700 milik Nor Azzren Bazid, 27.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu, kejadian tersebut didakwa berlaku di surau Tingkat 1, Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh, Bukit Baru di sini pada pukul 5.20 petang, 8 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 379 kanun tersebut, Zalina didakwa mencuri wang tunai RM650 kepunyaan mangsa berkenaan di ATM Ambank, Jalan Ayer Keroh di sini pada pukul 7.20 petang hari yang sama.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dengan alasan dia mencuri untuk membayar sewa rumah yang sudah tertunggak selama tiga bulan.
''Saya baru bekerja selama seminggu di sebuah kilang di sini dan saya mencuri untuk membayar sewa rumah tertunggak yang bernilai RM600.
''Saya juga mengaku telah empat kali melakukan perbuatan ini untuk mendapatkan wang,'' katanya.
Namun Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi yang mengendalikan kes tersebut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan kesalahan tersebut dilakukan di tempat beribadat.
''Selain itu, tertuduh mempunyai rekod lampau dan mengaku telah melakukan kegiatan curi dalam surau ini sebanyak empat kali iaitu perkara yang disifatkan satu tabiat,'' kata Rosli.
Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan penjara setahun serta denda RM2,500 bagi pertuduhan kedua.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, hukuman pemenjaraan yang dihadapinya boleh ditambah setahun lagi.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Utusan Malaysia Online - Selatan