Ketua Cawangan Pejabat PPDNKK SPT, Zainal Yeop Dahari berkata, serbuan jam 2 petang yang melibatkan enam pegawai diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Shaharudin Sharif itu berjaya menemui empat lori, termasuk satu tangki lori tidak berkepala yang membawa muatan masing-masing dua diesel dan petrol subsidi.
Menurutnya, ia disyaki cuba diseleweng untuk dijual ke tempat lain, namun lokasi minyak itu dibawa masih belum diketahui.
“Keempat-empat lori itu membawa sejumlah 68,100 liter minyak yang mana 30,100 liter adalah petrol dan selebihnya diesel dengan nilai keseluruhan RM129,980.
“Premis ini dipercayai baru sebulan beroperasi dan kita syaki ia dijadikan transit sebelum minyak yang dibawa dipindahkan ke lori lain dan bergerak ke lokasi lain untuk dijual.
“Namun, kita masih menyiasat sama ada minyak-minyak ini cuba diseludup ke Thailand atau pun tidak,” katanya kepada pemberita sejurus selepas operasi, di sini, lewat petang kelmarin.
Beliau dalam pada itu berkata, empat lelaki rakyat tempatan yang merupakan tiga pemandu dan seorang penjaga stor berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut, manakala pemilik premis masih diburu.
Jelasnya, kesemua lori yang bernilai RM184,980 turut disita.
“Sebelum diserbu, intipan selama sebulan dilakukan di premis ini dan mendapati terdapat pergerakan mencurigakan. Bagaimanapun, kita belum tahu sama ada premis ini mempunyai lesen atau pun tidak dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikannya,” katanya.
Zainal berkata, siasatan dilakukan mengikut Peraturan 3(3) Perintah Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, denda sehingga RM100 ribu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu yang terlibat bagi kesalahan pertama.
Manakala, bagi syarikat pula, denda tidak lebih RM250,000.
Bagi kesalahan kedua pula, individu terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 dan RM500,000 ribu jika melibatkan syarikat.