
Dominique Strauss-Kahn
Bakal calon pilihan raya presiden Perancis dituduh lakukan serangan seksualNEW YORK: Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antrabangsa (IMF) dan bakal calon pilihan raya presiden Perancis, Dominique Strauss-Kahn, 62, ditahan pihak berkuasa Amerika atas dakwaan melakukan serangan seksual, termasuk cubaan merogol seorang pekerja hotel di bandar raya ini.
Jurucakap polis New York, Paul Browne berkata semalam, Strauss-Kahn, dibawa keluar dari pesawat penerbangan Perancis, Air France, beberapa minit sebelum ia berlepas ke Paris dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy kelmarin.
Browne berkata, Strauss-Kahn, tokoh utama yang bertanggungjawab dalam menangani masalah kewangan ketika Eropah dilanda krisis hutang pada 2007 hingga 2009, ditahan secara rasmi kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan, atas dakwaan melakukan jenayah seksual, cubaan merogol dan mengurung orang lain secara salah.
Penganalisis berkata dakwaan ke atas Stauss-Kahn bakal memberi malu besar kepada imej IMF di seluruh dunia, kerana badan itu terbabit dalam pemberian program pinjaman ke atas negara bermasalah dan memainkan peranan dalam mengatasi masalah kewangan Eropah.
Ia menyusul pengumuman orang nombor dua IMF, John Lipks yang bercadang meletak jawatan Ogos depan, apabila penggalnya berakhir.
Browne berkata, seorang wanita pekerja hotel berusia 32 tahun, memfailkan aduan serangan seksual ke atas beliau sejurus berjaya melepaskan diri dari sebuah bilik hotel di Times Square, lokasi kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 1 petang waktu tempatan kelmarin.
Beliau berkata, Strauss-Kahn, yang dianggap calon pilihan bagi Parti Sosialis untuk bertanding pilihan raya presiden Perancis pada April dan Mei 2012, dipercayai melarikan diri dari hotel itu selepas kejadian.
“Pekerja wanita terbabit memberitahu penyiasat, Strauss-Kahn, keluar dari bilik air dalam keadaan bogel dan berlari ke serambi, tempat dia berada, menariknya ke katil dan cuba melakukan serangan seksual.
“Pekerja itu berjaya melepaskan diri tetapi beliau menariknya masuk ke dalam bilik air dan menyerangnya secara seksual sekali lagi. Strauss-Kahn juga cuba mengurung wanita itu di dalam bilik hotel,” kata Browne.
Beliau berkata berkata Strauss-Kahn tidak mempunyai kekebalan diplomatik dan beliau dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Di bawah undang-undang negeri New York, jenayah serangan seksual, termasuk memaksa seseorang melakukan seks oral, sama seperti cubaan merogol, boleh dikenakan hubungan penjara antara 15 hingga 20 tahun jika sabit kesalahan. Perbuatan mengurung orang lain secara salah pula boleh membawa hukuman tiga hingga lima tahun penjara. – Reuters