GEORGE TOWN — Polis Pulau Pinang dipercayai telah menumpaskan sindiket memproses dadah yang menjadikan pangsapuri mewah sebagai makmal memproses bahan tersebut untuk pasaran tempatan.
Menurut sumber polis, dalam operasi yang dilakukan oleh pasukan Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang Khamis lalu, polis telah menyerbu enam pangsapuri mewah tersebut dan merampas dadah yang dipercayai bernilai jutaan ringgit di sekitar bandar raya ini, Air Itam dan Gelugor.
Polis turut menahan 13 orang yang dipercayai ahli sindiket berkenaan termasuk empat wanita, selain menemui pelbagai peralatan untuk memproses dadah dalam serbuan kira-kira 6 petang itu.
Yang turut ditemui ialah pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ketamin dan heroin selain sebilangan besar alat memproses dadah dan bahan mentah lainnya.
Menurut sumber tersebut, salah sebuah pangsapuri itu bertaraf ”Penthouse” yang dipercayai disewa oleh sindiket terbabit.
"Malah, mereka turut menyewa dua lagi unit pangsapuri di lokasi yang sama sebagai tempat menyimpan stok dan juga untuk ahli sindiket terbabit berehat,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, serbuan itu yang terbesar dilakukan setakat ini tahun ini dengan membabitkan lebih 50 anggota serta pegawai dari Jabatan Narkotik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan dan berkata satu sidang media mengenainya akan diadakan tidak lama lagi. — Bernama