BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menyita 4,000 liter petrol dan 1,000 liter diesel dipercayai cuba diseludup serta sebuah kenderaan pikap Thailand bernilai RM35,000 di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata dalam operasi itu, tujuh anggotanya menyerbu ke sebuah tempat menyimpan minyak petrol dan diesel tidak berlesen kira-kira pukul 9.45 pagi tadi dan berjaya menahan pemilik tempat berkenaan.
"Tempat simpan minyak petrol dan diesel ini baru sahaja seminggu beroperasi dan mereka menyeludup minyak ini ke negara jiran pada waktu pagi dengan menggunakan kenderaan Thailand.
"Mereka mendapatkan bekalan minyak melalui pembekal tempatan yang menghantar minyak ini pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, suspek menggunakan kenderaan yang diubahsuai (tangki) dan mendapatkan bekalan dari stesen minyak sekitar kawasan Kubang Pasu dan Alor Setar.