Mohd Nazmi Mohd Nasir, 27, bersama tunangnya, Noraini Suru, 31, tidak menyangka persiapan mereka dengan membeli belah di sebuah pasar raya berhampiran Plentong, di sini, akhirnya memakan diri.
"Saya bersama pasangan teruja melihat sendiri promosi berhampiran kaunter pembayaran sebelum dihampiri jurujual yang mendakwa setiap pelanggan boleh mendapatkan :tawaran diskaun berganda :dengan syarat menggores kad cabutan bertuah.
”Selepas menggores kad diberikan, saya diberitahu memiliki tuah sekali gus berjaya mendapatkan baucar bernilai RM1,000.
"Saya bertambah teruja apabila diberitahu tidak akan dikenakan sebarang caj hasil daripada pembelian produk elektrik dihajati iaitu sebuah ketuhar gelombang mikro dan penyedut hampagas menggunakan kad kredit baru dipohon ketika promosi berkenaan,” katanya pada sesi per:bicaraan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Menara Ansar, di sini, semalam.
Mohd Nazmi berkata, dia dan tunangnya turut ditawarkan pelbagai barangan percuma membuatkan mereka tidak berfikir panjang ketika membuat pembelian.
Bagaimanapun katanya, timbul perasaan pelik apabila jurujual terbabit menyatakan dia perlu membayar barangan berkenaan menggunakan kad kredit sedia ada sementara permohonan kad kredit baru diluluskan bank.
"Saya akhirnya terpedaya dengan ‘ayat manisnya’ seterusnya mengikuti nasihat jurujual berkenaan yang mengatakan pihak bank tidak akan mengenakan sebarang caj ke atas pembelian dilakukan dan sebanyak RM5,168 akan dimasukkan ke dalam akaun kad kredit baru.
"Jurujual terbabit juga memberitahu saya bahawa tindakan dilakukan dapat mengelak daripada membayar kadar faedah bank kelak,” katanya.
Sementara itu, Presiden TTPM, Maznah Haron dalam sesi perbicaraan berkenaan mempersoalkan sikap mudah terpedaya Mohd Nazmi dengan kata-kata jurujual terbabit yang seolah-olah mempunyai kuasa meluluskan permohonan kad kredit baru.
"Mesti kakitangan syarikat itu begitu pintar sehingga boleh menahan tindakan pihak bank daripada mengenakan kadar faedah dan pelbagai perkara,” katanya.
Justeru, Maznah dalam keputusannya meminta syarikat terbabit mengembalikan semula RM5,168 kepada pihak penuntut dalam tempoh masa 14 hari perintah dikeluarkan dan semua perkakasan dibeli serta diberi percuma dipulangkan semula.