Telegawati berkata, suaminya tidak sedarkan diri akibat kecederaan serius selepas terjatuh di tempat kerjanya, iaitu sebuah kilang di Khantan.
Menurutnya, semenjak kemalangan itu, Sivakumar perlu dibekalkan susu setiap empat jam sebagai makanannya.
“Sekarang ini saya sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 300 sebulan.
“Jumlah ini bagaimanapun tidak mencukupi kerana bekalan susu untuk suami saya sahaja telah memerlukan RM600 sebulan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Tai Chong, di sini.
Telegawati berkata, dia tidak bekerja kerana perlu menjaga suami sepenuh masa, sekali gus menguruskan anak-anak yang masih bersekolah.
Menurutnya, dia dan keluarga kini menumpang di rumah ibunya, kerana tidak berkemampuan untuk membayar sewa rumah.
“Sejak kemalangan yang menimpanya, suami saya belum mendapat pampasan Socso, tetapi kami difahamkan ia akan mula dibayar pada bulan hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam, yang melawat keluarga ini bersama kakitangan JKM berkata, beliau tetap memberi perhatian kepada golongan kurang bernasib baik.
“Saya akan terus berusaha membantu golongan seperti ini termasuk memanjangkan masalah mereka kepada pihak berkenaan.
“Selain keluarga Telegawati, kita turut melawat beberapa keluarga lain yang perlu dibantu di sekitar Dewan Undangan Negeri Lintang,” katanya.