Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, lelaki itu menggunakan basikal untuk mengangkut sekurang-kurangnya tiga kali barang berharga dari sebuah rumah di Jalan Macalister dekat sini.
“Suspek mengakui menggunakan basikal bagi menjalankan aktiviti itu namun kita masih tertanya-tanya bagaimana dia mengangkut kesemua barang-barang itu. Jika dilihat, sebahagian barang yang dicuri bersaiz besar,” katanya kepada media semalam.
Menurutnya, pemilik rumah itu terkejut apabila mendapati pintu belakang rumahnya itu pecah dan ada kesan dimasuki orang.
“Rumah itu tidak berpenghuni kerana pemiliknya tinggal di Kuala Lumpur namun sekali sekala pulang ke rumah itu untuk menjenguk rumah ibunya. Namun setibanya di rumah pada 15 April lalu, pemilik itu terkejut apabila mendapati banyak barang miliknya hilang dan mengesyaki ia dicuri selain keadaan rumah berselerak.
“Apabila diperiksa, didapati pintu belakang rumahnya dipecah dan barang-barangnya hilang termasuk barang antik, wang kertas lama, barang kemas dan keris kurniaan Sultan Kelantan,” katanya.
Kong Meng berkata, pemilik rumah yang bergelar Datuk mengakui, rumahnya itu sebelum ini pernah dipecah masuk namun tidak membuat laporan polis atas sebab tertentu.
“Pemilik berumur 44 tahun itu menjalankan perniagaan sendiri dan menetap di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, berikutan kehilangan banyak barang miliknya, pemilik rumah itu membuat laporan polis pada 15 April lalu dengan anggaran kerugian lebih RM500,000. Sebahagiannya berjaya ditemui di rumah suspek di Puncak Terubong, Jalan Bukit Kukus,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan, polis menemui 12 kesan cap jari di dalam rumah itu sehingga berjaya menangkap seorang lelaki berumur 36 tahun.
“Polis menemui separuh daripada barang curi itu di rumah suspek ialah satu kotak mengandungi aksesori pakaian, satu bekas seramik berwarna putih dan sebuah jam dinding manakala pelbagai duit syiling mata wang asing dan dua keping wang kertas mata wang asing di kedai pengurup wang,” katanya.