Mohd Hanif ketika ditemui di rumahnya di Taman Sejahtera, di sini berkata, kebiasaannya dia akan melalui trek lain untuk naik ke atas berjoging, tetapi entah kenapa hari itu dia ingin melalui trek hutan itu.
Pada mulanya dia mengekori dua lelaki yang kebetulan melalui trek sama, tetapi tidak sampai seminit dia duduk berehat, kelibat mereka hilang.
Dia yang tidak biasa dengan trek itu kemudiannya meneruskan perjalanan untuk menjejaki dua lelaki itu namun, selepas berjalan lebih 20 minit kelibat mereka gagal ditemui.
Dalam keadaan letih, dia cuba berpatah balik dengan mengikut petunjuk tapak kaki yang dilekatkan di daun, tetapi petunjuk arah yang sebelum itu ada juga tiba-tiba hilang.
“Saya tidak berputus asa dan terus bergerak ke bawah untuk mencari jalan pulang. Begitu pun, saya tergelincir ke bawah, di celah batu berikutan keadaan trek yang licin.
“Selepas hampir sejam saya cuba untuk meloloskan diri dari celahan batu itu, tetapi tidak berjaya. Saya mula takut kerana tidak nampak jalan keluar.
“Saya terus memanjat dan akhirnya berjaya keluar dari celahan batu itu,” katanya.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia meneruskan perjalanan untuk turun ke bawah selepas itu, namun, cabaran datang sekali lagi apabila dia terjatuh buat kali kedua.
Kali ini dalam sebuah lubang berbatu di kedudukan kira-kira 400 meter dari aras laut menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar.
Jelasnya, dalam keadaan itu dia sempat berpaut pada ranting pokok dan segera menelefon ayahnya, Hashim Ibrahim, 53.
Bagaimanapun, panggilan pertamanya tidak diambil serius bapanya.
Namun, selepas panggilan kedua dibuat, baru bapanya percaya bahawa anaknya itu benar-benar sesat.
Sepanjang berada dalam lubang itu, dia tidak berhenti-henti berdoa dan melaungkan azan seperti yang disuruh bapanya.
Tambahnya, dia juga mendengar bunyi siren bomba, selain laungan azan dari masjid berhampiran sepanjang berada di situ namun, tidak berdaya untuk berbuat apa kerana badan dirasakan terlalu lemah.
“Semakin lama saya di dalam lubang itu, macam-macam perasaan timbul,” katanya.
Dalam pada itu, selepas hampir empat jam berada di dalam hutan tebal, dia mula terdengar suara orang memanggilnya, malah dia juga menerima panggilan telefon daripada orang kampung yang bertanyakan tentang lokasinya.
“Mereka menyuruh saya menjerit ‘tolong’ bagi memudahkan mereka mengesan kedudukan saya, tetapi, pelik apabila mereka tidak dapat mendengar jeritan saya,” katanya.
Begitu pun, tidak lama kemudian, penduduk dan anggota penyelamat berjaya menemuinya di lubang itu.
“Saya bersyukur kerana berjaya diselamatkan dan berterima kasih kepada semua pihak,” katanya.