PUTRAJAYA: Segelintir agensi pembantu rumah asing di negara ini dikesan mengaut keuntungan sehingga berlipat kali ganda daripada seorang pembantu rumah, dengan meminta mereka melarikan diri selepas bekerja antara dua hingga tiga bulan dengan sesebuah majikan.
Menggunakan taktik “recycle” (kitar semula), agensi terbabit akan menghantar seorang pembantu rumah selepas majikan membayar wang deposit antara RM8,000 hingga RM10,000 untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah berkenaan.
Bagaimanapun, selepas dua atau tiga bulan, pembantu rumah ini akan menimbulkan pelbagai masalah, sebelum melarikan diri semula kepada agensi pembantu rumah berkenaan.
Agensi terbabit, kemudian menghantar pembantu rumah sama kepada majikan lain, dan sekali lagi meraih sehingga RM8,000 bagi setiap pembantu rumah.
Difahamkan, proses berkenaan berulang beberapa kali sehingga agensi pembantu rumah berkenaan mendapat keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit untuk setiap pembantu rumah.
Mendedahkan perkara itu, Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), M Matheevani, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada majikan yang ditipu agensi pembantu rumah tidak bertanggungjawab itu, menyebabkan mereka kerugian hingga ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan seorang pembantu rumah.
Katanya, sepanjang 2009, NACC menerima 746 aduan berhubung perkara itu, sementara tahun lalu saja jumlah itu meningkat sehingga 1,363 aduan.
“Melihat kepada aduan yang diterima ia boleh dianggap serius kerana jumlah kerugian ditanggung majikan yang kami rekodkan sepanjang 2010 mencecah RM8.178 juta.
“Jumlah itu hanya berdasarkan kes yang dilaporkan kepada kami, malah kami percaya lebih ramai lagi yang mengalami kerugian akibat sikap tidak bertanggungjawab agensi pembantu rumah asing yang mengaut keuntungan di atas angin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Matheevani berkata, apabila dimaklumkan kepada agensi terbabit, mereka berjanji akan menghantar pembantu rumah lain, namun semuanya janji tinggal janji.
Ia menyebabkan, kebanyakan majikan kecewa dan meminta agensi memulangkan semula wang deposit, tetapi biasanya pelbagai alasan yang diberikan, dan ada diantara mereka hanya mendapat semula suku daripada jumlah keseluruhan yang dibayar.
Lebih menyedihkan, Matheevani, terdapat juga kes pembantu rumah yang tidak pandai melakukan kerja rumah, walaupun pada awalnya mereka dijanjikan dengan pembantu rumah terlatih dan berkelayakan.
Malah, ada juga agensi pembantu rumah asing yang tidak melengkapkan dokumen yang diperlukan termasuk permit masuk dan pemeriksaan kesihatan, sebelum menyerahkan kepada majikan walaupun mereka sudah membayar ribuan ringgit.
“Kami pernah mengendalikan satu aduan mengenai seorang pembantu rumah di mana majikan ini sudah membayar RM10,000, tetapi pembantu rumah yang dihantar tidak mempunyai permit kerja dan tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.
“Keadaan ini menyebabkan majikan serba salah, kerana bimbang mereka dikenakan tindakan kerana menggaji pembantu rumah yang tidak mempunyai permit kerja,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai atau majikan yang mempunyai masalah mengenai agensi pembantu rumah asing boleh membuat aduan sekiranya berdepan dengan senario seperti ini.
“Kadang-kadang mereka tidak mengetahui saluran yang boleh digunakan untuk membuat aduan, mereka sama ada boleh hadir ke NACC atau mengemukakan aduan kepada kami bagi membolehkan kami membantu,” katanya.
“Ini mengelakkan lebih ramai majikan yang ‘terkena’ akibat sikap mereka yang hanya ingin meraih keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada orang lain,” katanya.