KANGAR 7 April - Seorang penganggur dihukum penjara 13 tahun dan sebatan tiga kali sementara seorang remaja dipenjarakan sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah merogol seorang pelajar secara bergilir-gilir, empat tahun lalu.
Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menjatuhkan hukuman terhadap remaja terbabit yang ketika kejadian berusia 16 tahun dan tidak bersekolah berdasarkan peruntukan Seksyen 83C Akta Kanak-kanak 2001.Dia kini yang berusia 20 tahun dan rakannya, Mohd. Hafis Halim, 26, didakwa merogol anak yatim itu pada pukul 4 pagi, 27 Jun 2007 dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Pada hari tersebut, mangsa yang selesai bekerja di sebuah restoran di Kuala Perlis pada pukul 2 pagi diajak oleh rakan lelakinya untuk menumpang kereta yang dinaiki kedua-dua tertuduh itu yang tidak dikenalinya.
Pada mulanya mangsa enggan tetapi setelah dipujuk oleh rakannya, dia bersetuju menaiki kenderaan itu sebelum dibawa bersiar-siar selama dua jam termasuk ke Padang Besar.
Selepas itu mangsa dirogol bergilir-gilir dalam kenderaan itu di tempat letak kereta di hadapan Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Jalan Padang Golf Putra, di sini, sambil diperhatikan rakan lelakinya.
Bagaimanapun rakan lelaki tersebut tidak terlibat dalam jenayah itu yang dilaporkan oleh mangsa kepada polis pada keesokan harinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah memohon supaya tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal.
“Kes ini mempunyai saksi utama iaitu rakan lelakinya selain mangsa juga mengalami trauma yang teruk akibat kejadian sehingga terpaksa dipujuk hadir ke mahkamah,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, kedua-dua tertuduh terutama Mohd. Hafis sering tidak menghadiri prosiding dan melengah-lengahkan perbicaraan sehingga berlanjutan selama dua tahun.
Menurut Aisyaf Falina, tertuduh juga sering memberi pelbagai alasan sehingga sanggup menipu mahkamah dan bersembunyi dalam rumah kerana tidak mahu menghadiri perbicaraan. - Utusan