KAMPUNG RELAI - “Ketika kejadian rompakan berlaku, saya baru selesai solat dan tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan adik ipar yang meminta tolong dan menyatakan bahawa rumahnya dimasuki perompak.
Demikian kata Ibrahim Deris, 75, mengenai kejadian rompakan yang berlaku di rumah adik iparnya, Nasarudin Omar, 48, yang tinggal kira-kira 10 meter dari rumahnya.
Menurutnya, dalam kejadian terbabit, adik iparnya bersama isteri, Che Minah Che Ali, 45, serta anak kedua mereka, Nazmiza Hazimasuriati, 26, yang tidur di dalam dua bilik berasingan di tingkat atas rumah mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga perompak bersenjatakan parang dan pisau yang memecah masuk rumah mereka.
“Ketika kejadian, adik ipar sekeluarga sedang lena tidur sebelum didatangi tiga perompak yang datang dari arah dinding yang sedia terbuka di bahagian dapur,” katanya.
Menurut Ibrahim, mereka mengikat tangan dan kaki adik ipar menggunakan tali kipas manakala isteri dan anak perempuannya diikat menggunakan kain tudung.
“Selain itu, mereka turut mencederakan adik ipar dan isteri dengan menumbuk serta terajang di bahagian badan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Ibrahim berkata, dia sekeluarga terkejut apabila mendapati mangsa melaung namanya dari luar kawasan rumah kira-kira jam 3 pagi dan menyatakan terdapat tiga perompak memasuki rumahnya.
“Menurut adik ipar, selepas perompak melarikan diri, Che Minah berjaya melepaskan ikatan kain tudung yang mengikat pergelangan tangan dan kaki serta turut melepaskan ikatan suami dan anak mereka.
“Setelah yakin perompak tiada di kawasan rumah mereka, Nasarudin bertindak lari ke kawasan halaman rumah dan memanggil kami sekeluarga mendapatkan bantuan,” katanya.
Ibrahim berkata, setelah mendengar jeritan mangsa, mereka sekeluarga segera menuju ke rumah tersebut untuk membantu mangsa sekeluarga dan turut cuba mengesan perompak itu.
“Selain membuat laporan polis di Balai Polis Kerambit, ahli keluarga juga cuba mengesan perompak di sekitar kawasan kampung namun usaha kami hanya sia-sia,” katanya.
Ibrahim berkata, kes tersebut adalah kejadian pertama berlaku di rumah yang didiami oleh adik iparnya dan menjadi mimpi ngeri bagi mereka sekeluarga kerana hampir meragut nyawa ahli keluarganya.
Kerugian RM15 ribu
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut berkata, rompakan berlaku sekitar jam 2.15 pagi di sini, awal pagi kelmarin.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila tiga suspek di mana dua daripadanya bersenjatakan sebilah parang dan pisau serta memakai kain sarung sebagai penutup muka memecah masuk rumah mangsa dengan memanjat bahagian dinding dapur yang sedikit terbuka,” katanya.
Abdul Razak berkata, salah seorang daripada suspek mengarahkan isteri mangsa, Che Minah menunjukkan tempat menyimpan barang kemas dan wang tunai.
Menurutnya, suspek lain bertindak mengejutkan anak perempuan mangsa yang tidur di bilik bertentangan sebelum dibawa ke bilik orang tuanya serta diikat kaki dan tangan.
“Tiga perompak itu mempunyai tugasan masing-masing di mana seorang bertindak menggeledah rumah tersebut bagi mencari barangan berharga, seorang bertindak mengawasi keadaan sekitar dengan memegang pisau manakala seorang lagi suspek mengawasi mangsa dengan memegang parang.
“Ketika berulang alik di sekitar bilik tersebut, suspek yang memegang pisau ternampak bekas senapang dan bertindak meminta senapang tersebut daripada mangsa,” katanya.
Abdul Razak berkata, risau dengan keselamatan ahli keluarga, Nasarudin bertindak memberitahu tempat letak senapang tersebut di bahagian belakang almari ruang tamu rumah mereka.
Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak mengambil senapang tersebut manakala suspek lain yang menggeledah rumah tersebut berjaya menemui sebuah komputer riba dan dua telefon bimbit.
“Suspek turut merampas dua cincin emas, dua gelang tangan, sepasang subang dan seutas rantai serta turut melarikan komputer riba, telefon bimbit dan tunai RM5,200.
“Suspek juga mengambil kunci van milik mangsa dan melarikan van terbabit kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa dan meletakkannya di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.
Abdul Razak berkata, adalah dipercayai terdapat seorang lagi suspek yang memandu kenderaan lain menunggu di kawasan ladang kelapa sawit tersebut dan kesemua suspek bertindak memindahkan barangan rompakan tersebut ke dalam kenderaan itu.
Menurutnya, ketika siasatan dijalankan, pihak polis dengan bantuan penduduk kampung menemui sepucuk senapang dipercayai milik mangsa di kawasan pagar rumah itu.
“Pihak kami menemui senapang itu di kawasan semak di luar pagar rumah mangsa dan kami percaya senapang itu milik mangsa yang dilarikan perompak ketika kejadian tersebut berlaku.
“Menurut mangsa, ketiga-tiga suspek berdialog dalam loghat Indonesia,” katanya.
Abdul Razak berkata, dalam kejadian rompakan yang berlaku kira-kira 45 minit itu, perompak berjaya melarikan barangan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM15,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan Samun Berkumpulan Tanpa Senjata Api dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
“Saksi yang tahu mengenai kejadian rompakan tersebut atau mengetahui tentang kumpulan terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk membantu siasatan,” katanya.