KUALA TERENGGANU - Malang bertimpa. Seorang pemilik kedai makan bukan sahaja terpaksa berputih mata kerana menanggung kerugian hampir RM30,000 setelah premis yang disewanya hangus, namun lebih terkilan, segala peralatan memasak sempena perkahwinan anak perempuannya pada Sabtu ini yang disimpan sementara di dalam premis itu, juga tidak dapat diselamatkan dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Aur, Chendering, awal pagi, semalam.
Bertambah malang, premis yang disewa sejak tiga bulan lalu oleh Nor Azizah Nuna Sultan, 40, dari Kampung Batu Burok itu tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF) yang sekali gus menyukarkan pihaknya untuk membuat sebarang tuntutan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 pagi itu, premis dua pintu terbabit hanya disedari terbakar oleh orang ramai yang secara kebetulan masih berada di sekitar kawasan itu apabila melihat asap tebal keluar dari bahagian bumbung premis.
Menurut Nor Azizah, ketika kejadian, dia berada di rumahnya di Kampung Batu Burok dan hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4 pagi.
“Tetapi sebelum itu, saya sendiri merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan disebabkan fikiran berkecamuk, saya tidak dapat tidur.
“Lebih meresahkan, saya terdengar bunyi petir yang begitu kuat sekitar jam 3 pagi dan saya tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja teringat keadaan kedai makan ini.
Resahnya nyata setelah kira-kira jam 4 pagi, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada orang awam tidak dikenali memaklumkan kedainya terbakar.
“Mungkin mereka mendapatkan nombor telefon saya yang sememangnya diletakkan di hadapan kedai itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Nor Azizah berkata, walaupun segala peralatan memasak sempena perkahwinan anak keduanya, Farah Alina Ariffin, 21, yang bakal berlangsung pada Sabtu ini hangus sama sekali, namun dia tetap meneruskan majlis itu kerana kad jemputan sudah diedarkan.
“Tetapi, kami akan memikirkan perancangan baru bagi mengurangkan kos perbelanjaan untuk majlis itu memandangkan musibah yang berlaku.
“Ini sebab, sumber pendapatan kami sekeluarga 100 peratus bergantung pada hasil jualan di kedai makan ini,” katanya dalam nada sebak.
Berhubung ketiadaan CF di premis yang disewanya itu, Nor Azizah berkata, dia hanya mengetahui premis tersebut tidak mempunyai CF setelah hampir sebulan menyewa di situ.
“Saya pernah bertanyakan hal ini kepada pemilik premis, namun jawapan yang diberikan, dalam proses mendapatkan CF tetapi sehingga kini, langsung tiada sebarang berita berhubung perkara itu,” katanya.
:Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Roslan Shafii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 4.13 pagi dengan kekuatan anggota seramai 15 anggota.
“Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.