
JERLUN - “Saya kembali trauma apabila dikejutkan dengan kejadian puting beliung yang berlaku di rumah saya lewat petang kelmarin,” kata seorang mangsa, Haton Saad, 58, di Kampung Permatang Bonglai Kecil dekat sini, semalam.
Pengalaman yang sama dialami Haton dua tahun lalu ditambah pula mengimbas kejadian petir yang menimpa anak keenamnya 17 tahun lalu mengembalikan trauma kepadanya sewaktu menyaksikan puting beliung berkenaan kelmarin.
Menceritakan detik cemas itu, Haton yang sedang mengaji al-Quran dalam biliknya pada ketika itu terkejut apabila terdengar bunyi angin yang kuat seolah-olah bunyi rumahnya meletup.
Menurutnya yang hanya berada bersama seorang daripada anaknya di rumah ketika kejadian, dia sempat melaungkan azan beberapa kali selepas menyaksikan puting beliung yang menerbangkan bumbung hadapan rumahnya.
“Saya nampak sendiri kejadian berlaku apabila sebahagian bumbung diterbangkan manakala bumbung zink di bahagian belakang rumah ditiup angin yang kuat.
“Kira-kira 10 minit juga ia berlaku sebelum reda walaupun ketika itu cuaca di luar hanya hujan renyai sahaja bercampur dengan dentuman guruh,” katanya.
Dalam kejadian puting beliung yang berlaku kira-kira jam lima petang kelmarin, difahamkan terdapat empat rumah termasuk sebuah gerai di Kampung Titi Tokdiah, Kubang Sepat dan sebuah rumah di Kampung Permatang Bonglai Kecil di sini terjejas akibat kejadian terbabit.
Kerusi gerai terbang sampai atas pokok
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Kampung Titi Tokdiah mendapati sebuah gerai makanan di tepi Jalan Sungai Korok selain empat rumah penduduk di situ turut terjejas dalam kejadian terbabit.
Peniaga gerai makanan, Norshakinah Shaari, 34, berkata, sewaktu kejadian dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari gerai miliknya itu.
Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 petang kelmarin itu benar-benar mengejutkannya kerana ia adalah kejadian pertama menimpanya sejak 12 tahun berniaga di situ.
“Semasa kejadian saya baru sahaja tutup gerai kira-kira jam 2 petang dan pulang ke rumah untuk berehat, namun tidak menyangka kejadian ini sekelip mata memusnahkan sebahagian gerai makanan begitu sahaja melibatkan kerugian melebihi RM10,000.
“Cuaca pada ketika itu mendung sahaja dan orang ramai yang melalui jalan itu ada beritahu mereka nampak bagaimana pusaran angin datang dan menerbangkan gerai saya termasuk kerusi di gerai terpelanting sampai atas pokok mempelam berdekatan,” katanya.
Manakala seorang lagi mangsa, Mariah Omar, 44, berkata, sewaktu kejadian dia berada di dapur dikejutkan dengan jeritan anak bongsunya, Syafiqah Che Omar, 6, dari arah bilik tidur utama rumah mereka.
Menurutnya, sebaik menjerit, anaknya itu berlari ke dapur dan memberitahu bahawa biliknya dipenuhi batu simen daripada runtuhan bumbung akibat ditiup puting beliung itu.
“Dengan pantas pada masa itu suami mengangkat salah seorang lagi anak kami yang orang kelainan upaya (OKU) yang sedang baring di ruang tamu rumah untuk bergegas keluar bagi menyelamatkan diri.
“Pada masa sama ketika itu jiran menjerit meminta kami keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri dan kejadian berlaku kira-kira 10 minit sahaja.
“Selepas ia berhenti barulah kami sedar tiga bilik termasuk bilik air dan ruang dapur terjejas apabila bumbung rumah diterbangkan selain sampah dan daun kering memenuhi ruang rumah,” katanya.
JKM siasat kerugian
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kubang Pasu, Mohd Shabberi Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima semua laporan berkaitan kerosakan yang dialami mangsa puting beliung melibatkan empat rumah termasuk sebuah gerai di Kampung Titi Tokdiah dan sebuah rumah di Kampung Permatang Bonglai Kecil.
Menurutnya, pihaknya meninjau ke kawasan terlibat bagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jumlah kerugian yang ditanggung semua mangsa itu.
“Kita akan menyiasat jumlah kerugian dan laporan akan diserahkan segera ke jabatan untuk tindakan selanjutnya.
“Bantuan kewangan untuk bencana alam akan diberikan kepada mangsa berdasarkan jumlah kerugian yang dikenal pasti dan bantuan akan disegerakan,” katanya.
SH