PELABUHAN KLANG – Hasrat sepasang kekasih untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian setelah maut digilis lori dalam kejadian di Jalan Kem, di sini tengah hari semalam.
Penunggang motosikal, A Surenraj, 26, dan pembonceng, S Philomena, 24, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Trafik merangkap Ketua Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC datang dari arah yang sama dengan lori terbabit.
“Mereka dari arah Bandar Pelabuhan Klang menghala Klang dan motosikal mereka dipercayai telah bergesel dengan bahagian kiri lori berkenaan.
“Geselan itu mengakibatkan motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbalik ke kiri jalan. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tercampak ke sebelah kanan jalan.
“Dalam masa yang sama, kepala kedua-dua mereka digilis tayar belakang lori menyebabkan otak dan beberapa organ dalaman kepala mangsa terburai di jalan raya.
“Berikutan itu, kedua-duanya maut serta merta di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, mayat kedua-duanya dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki mangsa tidak mengalami sebarang kerosa�kan.
“Pemandu treler terbabit sudah membuat laporan polis dan kita akan jalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.