SHAH ALAM – Hotel bajet menjadi sasaran pasangan tidak berkahwin untuk bersekedudukan dengan pasangan masing-masing untuk melakukan aktiviti maksiat sempena sambutan Hari Kekasih yang berlangsung semalam.
Dalam serbuan bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal pagi semalam, di hotel bajet seluruh negeri mendapati seramai 81 pasangan telah ditahan dalam operasi mencegah maksiat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes telah dibawa ke mahkamah, 61 orang diberi kaunseling manakala 60 lagi diarahkan beredar.
Penolong Pengarah Perancang dan Strategi Bahagian Penguatkuasaan Jais, Nasrul Hadi Rohani berkata, kesemua yang ditahan adalah lingkungan umur 18 hingga 45 tahun.
Menurutnya, sebanyak 25 kes berlaku di hotel bajet di sekitar daerah Petaling iaitu di Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.
“Jumlah keseluruhan 81 kes itu merupakan jumlah tangkapan di seluruh negeri di mana operasi banyak tertumpu di hotel bajet di seluruh negeri ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, faktor sambutan Hari Kekasih turut menyumbang kepada berlakunya peningkatan terhadap jumlah tangkapan pasa- ngan yang melakukan maksiat.
“Saya berharap semua masyarakat beragama Islam supaya tidak menyambut Hari Kekasih ini kerana ia tidak diperintahkan dalam ajaran agama Islam,” katanya.
Nasrul Hadi memberitahu, Kempen Anti Zina yang dilancarkan kelmarin juga telah memberi kesan positif dalam usaha Jais mencegah aktiviti maksiat kerana menerusi kempen tersebut, ramai orang awam dapat membantu Jais dalam melancarkan operasi mencegah maksiat.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nurhamizah Othman berkata, tindakan itu sebahagian daripada operasi dua fasa bagi memerangi kemungkaran di negeri ini.
Menurutnya, fasa pertama, melibatkan kempen dan dakwah di taman rekreasi dan sekitar kawasan tasik di negeri ini.
Katanya, individu yang ditahan akan didakwa bawah Enakmen Jenayah Syarikah Negeri Selangor 1995 yang mana jika sabit kesalahan akan dikenakan dendan tidak melebihi RM3,000 atau di penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Nurhamizah berkata, operasi yang berlangsung selama sembilan jam itu, diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jais Mohd Rais Rashid.
Operasi tersebut turut mendapat kerjasama majlis perbandaran tempatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta beberapa sukarelawan di bawah program Kempen Anti Zina.
SH