SUNGAI PETANI - Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini tidak bermakna bagi tiga keluarga di Kampung Air Mendidih, Jalan Badlishah di sini, apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran, jam 10.50 malam, kelmarin.
Mangsa, Teh Teow Kuang, 61, berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga berehat di rumah dan tiba-tiba terdengar jeritan daripada jiran memaklumkan melihat api marak.
Menurutnya, dia dan keluarga kemudiannya berlari keluar rumah sambil menjerit meminta tolong daripada jiran tetangga untuk menyelamatkan barangan dalam rumah.
“Namun, mungkin jiran tidak berani mendekati rumah saya kerana api begitu marak jadi saya mengambil inisiatif sendiri untuk masuk dalam rumah dan menyelamatkan barangan berharga.
“Kejadian itu mungkin disebabkan litar pintas dari salah sebuah rumah jiran. Saya lihat kepulan asap dan api menyambar bumbung sebelum marak ke dinding rumah sebelah,’’ katanya ketika ditemui media di tempat kejadian.
Teow Kuang berkata, dia sempat mencapai beberapa pakaian dan dokumen penting yang berada berhampiran pintu kerana pada masa itu api begitu marak dan merebak ke bahagian bumbung rumahnya.
Menurutnya, belum sempat anggota bomba sampai di lokasi kejadian, rumah yang didiaminya lebih 50 tahun lalu hangus terbakar sekelip mata.
Seorang lagi mangsa, Lim Peng Siang, 57, berkata, semua persiapan menjelangnya Tahun Baru Cina pada minggu depan hangus dalam kejadian itu.
“Bagi saya, sambutan Tahun Baru Cina tahun ini sudah tidak bermakna kerana semua persiapan seperti baju raya habis terbakar dan saya juga sedih memikirkan duit yang hangus kerana kami tidak ada duit untuk menggantikan semula duit yang terbakar itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Nazaruddin Indah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai sejurus selepas kejadian dan tiba bersama sebuah jentera bomba serta enam anggota.
“Semasa pasukan bomba sampai, salah sebuah rumah musnah terbakar. Kami dengan bantuan daripada pasukan bomba sukarela dapat mengawal api setengah jam selepas itu.
“Namun kita menghadapi sedikit kesukaran kerana jalan memasuki tempat kejadian agak sempit selain struktur rumah yang diperbuat daripada kayu,” katanya.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Mohamad Md. Nor berkata, kejadian itu melibatkan empat rumah, satu daripadanya tidak didiami dan hanya dijadikan stor dan seramai lapan mangsa daripada tiga keluarga terlibat yang semuanya berketurunan Cina.
Menurutnya, kesemua mangsa diberikan bantuan awal berupa makanan dan keperluan asas untuk tiga hari dan anggaran kerugian adalah sebanyak RM50,000.
“Semua mereka kini menumpang di rumah waris berdekatan. Kita akan berusaha mendapatkan bantuan tambahan dalam tempoh terdekat bagi membantu meringankan beban keluarga terlibat,” katanya.Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini tidak bermakna bagi tiga keluarga di Kampung Air Mendidih, Sungai Petani. Rumah mereka hangus malam kelmarin
Api yang merebak ke seluruh rumah mangsa menyebabkan semua barang termasuk untuk menyambut Tahun Baru Cina musnah.