KUALA LUMPUR 14 Jan. - Seorang penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman hari ini diperintahkan membela diri atas tiga tuduhan membabitkan penerimaan deposit lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM59 juta.
Mahkamah Sesyen di sini turut mengeluarkan perintah yang sama terhadap dua anak perempuannya, Noradzma, 35, dan Noradzrin, 26, serta syarikat milik mereka, Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. di akhir kes pendakwaan.
Hakim Rozana Ali Yusof memutuskan untuk memanggil Adzhar, 56, yang merupakan pengurus besar syarikat itu dan dua anaknya, serta syarikat terbabit untuk membela diri atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan
prima facie dalam kes itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abd. Moin dan pegawai pendakwa, Anthony Kularaj, kedua-duanya dari Bank Negara Malaysia (BNM) serta dua Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara, Mohd. Farez Rahman dan Mohd. Haziq Razali.
Kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin.
Dewan mahkamah hari ini juga dipenuhi hampir 90 orang awam dipercayai 'pelabur' yang terlibat dalam kes itu sehingga menyebabkan ada yang terpaksa berdiri sepanjang prosiding.
Mahkamah menetapkan 26 Januari ini untuk tertuduh-tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.
Pada 22 Disember tahun lalu, Adzhar, Noradzma dan Noradzrin didakwa menggunakan wang haram untuk membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang, membeli produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka.
Noradzma merupakan pengarah syarikat pelancongan Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. (Noradz Travel & Services) sementara adiknya Noradzrin, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan pengurusan perniagaan.
Mereka didakwa melakukan aktiviti penggubahan wang haram tersebut di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur termasuk EON Bank Bhd., Malayan Banking Bhd., Ambank (M) Bhd. dan Eoncap Islamic Bhd. di antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.
Bagi kesalahan ini, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Adzhar dan Noradzma turut menghadapi tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di antara Julai 2006 dan Oktober 2008 di No. 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.
Sementara itu, syarikat Noradz Travel & Services yang diwakili oleh Noradzma turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan serupa pada tarikh dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan ini, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.
Cabang perniagaan yang diceburi oleh ketiga-tiga beranak itu antaranya pelaburan, penyewaan kereta, insurans dan penerbitan filem serta drama.
Filem
Shhh...Dia Datang diterbitkan oleh salah sebuah anak syarikat mereka, Noradz Productions Sdn. Bhd dan dibintangi pelakon, Saiful Apek.
Filem tersebut bagaimanapun sehingga kini masih belum ditayangkan di pawagam.