TUMPAT 12 Jan. - Seorang kakitangan Istana Mahkota dikatakan pernah menawarkan senjata api kepada kakitangan lain termasuk tiga pengawal peribadi dari Singapura yang diupah oleh bekas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Pemandu istana berkenaan, Mat Salleh @ Abdul Ghani Ismail, 61, memberitahu, kakitangan itu yang dikenali sebagai Chef Dee membuat tawaran tersebut selepas menunjukkan senarai senjata api kepadanya dan beberapa kakitangan lain, tetapi tidak mengingati bila perkara itu berlaku.
Dia bagaimanapun memberitahu tidak begitu mengenali Chef Dee yang merupakan tukang masak istana yang kerap menyediakan makanan kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra pada ketika itu masih bergelar Tengku Temenggong Kelantan. (Gelaran Tengku Temenggong ditarik balik pada 30 September tahun lalu)
"Saya pernah lihat Chef Dee tunjuk katalog senjata api di hadapan saya dan rakan lain termasuk tiga pengawal peribadi swasta yang diupah Tengku Temenggong iaitu Man, Bob dan Shah. Dia kata siapa yang hendak beli bolehlah tetapi saya tidak tahu jika ada yang membeli atau tidak," katanya.
Saksi ke-20 itu berkata demikian pada hari ketiga inkues yang dijalankan bagi menyiasat punca kematian pengawal Istana Negeri, Ramli Mohamad akibat ditembak penyerang yang tidak dikenali di Palekbang di sini, pada 1 Mei tahun lalu.
Ketika kejadian, Ramli berseorangan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.
Inkues tersebut didengar di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussein.
Menurut Mat Salleh, seminggu sebelum kejadian, dia juga pernah ditanya oleh Chef Dee mengenai nombor plat motosikal Ramli tetapi memberitahu tidak ingat.
"Saya ada bertanya kepada Chef Dee kenapa tanya nombor motosikal arwah, Chef Dee menjawab dia ada mendengar Ramli mahu menjual motornya itu," katanya.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu, pernah mendengar daripada rakan-rakan sekerja mengenai perselisihan faham antara Ramli dengan pengawal-pengawal Tengku Muhammad Fakhry Petra di Singapura.
Sementara itu, saksi ke-19, isteri Chef Dee, Haliza Hashim, 45, menafikan penglibatan suaminya dalam kes tersebut dengan alasan pada malam kejadian, mereka sekeluarga berada di Apartmen Suria, Bukit Merah, Taiping, Perak.
Haliza yang juga seorang guru memberitahu, mereka pergi ke Taiping pada 30 April tahun lalu dengan menaiki kenderaan Toyota Tiger Truck yang dibeli suaminya di Thailand dan menggunakan plat pendaftaran Yala.
Rombongan mereka turut disertai oleh lapan rakannya bersama keluarga masing-masing dan pulang ke Kelantan 2 Mei tahun lalu, ujarnya.
Haliza memberitahu, dia dan suami hanya mengetahui kes berkenaan selepas dimaklumkan seorang tukang masak Istana Mahkota, Siti Hawa Taib yang turut bercuti di Bukit Merah.
Dalam pada itu, Wan Abdul Razak memberitahu mahkamah, sepina kepada Chef Dee gagal diserahkan.
Perbicaraan bersambung pada 20, 21 dan 22 Februari ini.