Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

Warga emas bunuh jiran dihukum mati



SHAH ALAM 30 Dis. – Seorang lelaki warga emas dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh jirannya dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang dalam pertelingkahan berhubung pintu pagar bising pada Ogos tahun lalu.
Hakim Nor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ho Ah Tee, 65, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Dalam penghakimannya, beliau menolak keterangan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak sedar apa yang berlaku akibat diserang hiperglasemia kerana tidak bersarapan pagi selepas mengambil ubat kencing manis.
Hakim Nor Azian sebaliknya menerima keterangan Ketua Unit Diabetes dan Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin bahawa kekurangan gula dan hiperglasemia tidak akan menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri atau tidak sedar apa yang berlaku.
Ah Tee yang memiliki sebuah kedai motosikal didakwa membunuh Teo Chai Hock, 71, di hadapan rumah No. 13, Jalan Sekolah, Pelabuhan Klang dekat sini pada pukul 8.30 pagi, 12 Ogos tahun lalu.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Stanley Clement Augustine.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menampilkan 11 saksi manakala enam saksi memberi keterangan bagi pihak pembelaan.
Berdasarkan keterangan saksi-saksi, mangsa yang baru pulang daripada bersenam telah meletakkan motosikal di hadapan rumahnya apabila dihampiri tertuduh yang sedang berkebun.
Pergaduhan berlaku antara kedua-duanya berhubung pintu pagar rumah mangsa yang dikatakan melanggar konkrit dan menyebabkan bunyi bising sehingga tertuduh dan isterinya tidak dapat tidur pada malam sebelum hari kejadian.
Tertuduh dan mangsa dikatakan bertelingkah tentang pintu pagar tersebut sejak lima tahun lalu apabila tertuduh mendesak mangsa menukar pintu pagar tetapi mangsa enggan berbuat demikian kerana telah meletakkan kayu pada konkrit bagi mengurangkan bunyi bising.

No comments:

Post a Comment