Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Wanita hamil maut nahas

MERSING: Dua termasuk seorang wanita yang sarat mengandung maut manakala dua lagi parah dan lima cedera ringan akibat pertembungan membabitkan Proton Wira dan Waja ketika hujan lebat di Kilometer 10, Jalan Mersing-Felda Nitar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Wong Chia Hui, 26, yang sarat mengandung dan berasal dari Taman Desa, Kluang serta Chan Hui Wen juga dari daerah sama mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan juga kepala.


Kedua-duanya menaiki Wira berkenaan, mereka yang parah adalah pemandu dan penumpang kereta itu, Ahmad Abdullah, 36, serta Teo Roy Shan, 27, kedua-duanya juga berasal dari Kluang.

Pemandu Waja, Fadzli Aziz, 22, serta empat lagi anggota keluarganya pula cedera ringan.


Fadzli berkata, dia sekeluarga dalam perjalanan dari Nitar ke Bandar Mersing untuk pulang ke Felda Tenggaroh 2 selepas menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya melihat Wira terbabit yang datang dari arah depan memotong sebuah kereta sebelum hilang kawalan lantas melintang di tengah jalan.

“Saya gagal berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan pantas, pada masa sama, jalan juga licin akibat hujan,” katanya ketika ditemui di Hospital Mersing.


Menurut Fadzli, sekiranya mengelak, mungkin dia sekeluarga pula yang maut kerana Waja itu berkemungkinan terhumban ke dalam gaung bersebelahan.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami semua terselamat, hanya anak saudara, Aqil Syaman yang berusia dua tahun luka ringan di kepala akibat terhantuk,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


“Ini adalah kemalangan maut kedua berlaku dalam tempoh 24 jam di daerah ini dipercayai akibat jalan licin selepas hujan lebat,” katanya.

myMetro | Wanita hamil maut nahas:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment