Ahmad Faijan Mohammad
KUALA TERENGGANU - Gara-gara gagal memberikan wang RM30 yang diminta abangnya, seorang adik berhadapan detik mencemaskan apabila darah dagingnya itu ‘naik hantu’ dengan mengacukan sebilah pisau lipat ke arah mukanya dalam satu kejadian di kediaman mereka di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini, 20 Disember lalu.

Ahmad Faijan Mohammad, 25, menerima pembalasan setelah Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak bekerja itu memilih dipenjarakan kerana tidak mempunyai wang bagi menjelaskan denda.

Hukuman dijatuhkan lepas tertuduh mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan pada adiknya, Siti Nateras Mohammad dengan niat menyebabkan mangsa cemas.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu pada 20 Disember lalu kira-kira jam 9.30 pagi di kediaman mereka di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini.

Dengan itu, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa ketika itu sedang berehat di rumah bersama tiga lagi adik-beradik mereka telah didatangi tertuduh yang meminta duit RM30 daripada mangsa.

Mangsa tidak dapat memenuhi permintaan tertuduh kerana dia tidak mempunyai wang sehingga menaikkan kemarahan tertuduh.

Tertuduh terus mengacukan sebilah pisau lipat ke arah muka mangsa lalu mengugut akan mencederakan mangsa jika masih berdegil tidak mahu memberikan wang tersebut dan memberikan tempoh sehingga pada malam kejadian.