Search This Blog

Tuesday, December 13, 2011

Tunjuk samseng elak dicekup

PETALING JAYA: Tiga lelaki warga Nigeria sanggup berhimpit di bawah katil dalam sebuah bilik bagi mengelak dicekup ketika anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor melakukan Operasi 6P di Apartmen Baiduri Court, Bandar Bukit Puchong di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, seorang lagi rakan serumah mereka bersembunyi dalam sebuah lagi bilik dan menguncinya dari dalam, menyebabkan anggota operasi terpaksa memecahkan pintu bilik selepas lelaki berkenaan enggan membuka pintu seperti diarahkan.
Selepas pemeriksaan dilakukan, empat warga Nigeria yang masuk ke negara ini menggunakan ‘lesen’ pelajar itu didapati cuba mengelak ditahan kerana pas pelajar mereka sudah tamat tempoh dan berada di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.
Dalam operasi selama empat jam itu, seorang lelaki warga Nigeria tercedera selepas bergelut dengan beberapa anggota operasi ketika cuba menghalangnya terjun dari tingkat dua bangunan pangsapuri setinggi 10 tingkat itu.

Ketua Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montin, berkata akibat pergelutan itu, lelaki berkenaan cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan pesakit luar.

“Dalam operasi disertai 58 pegawai dan anggota ini, kami memeriksa 79 warga asing yang menyewa di 22 unit apartmen itu dan hasilnya, kita menahan 12 lelaki warga Nigeria serta tiga lagi lelaki masing-masing dari Bostwana, Uganda dan Pakistan berusia antara 22 hingga 35 tahun atas beberapa kesalahan.

“Antara kesalahan utama adalah pas pelajar atau dokumen perjalanan sudah tamat tempoh dan tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat permit pekerjaan,” katanya di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana melanggar syarat permit pekerjaan dengan bekerja pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan, sedangkan dia diberi permit bekerja dalam sektor perladangan.

Othman berkata, semua 15 lelaki ditahan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan dan mereka dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk tindakan selanjutnya.
Berita Harian Online | Tunjuk samseng elak dicekup:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment