Search This Blog

Thursday, December 15, 2011

Tiga pelajar dicekup pecah masuk kereta

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tahun Enam dan dua pelajar Tingkatan Tiga dan Empat yang berada di dalam sebuah kereta yang dipecah masuk mereka, panik selepas dikepung sekumpulan penduduk flet yang mengesan aktiviti jenayah mereka petang kelmarin.

Malah, seorang daripada mereka yang mendakwa kereta berkenaan milik bapa saudaranya juga terbongkar selepas pemilik kereta sebenar turut sama menyerbu dan menahan kumpulan pelajar terbabit di Flet Bandar Tun Razak, Cheras.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, tiga pelajar itu dikatakan tidak menyedari kegiatan mereka memecah masuk kereta Proton Iswara, diperhatikan seorang penduduk yang melihat kegiatan mencurigakan itu sebelum memaklumkan kepada beberapa penduduk lain dan bertindak mengepung sebelum menahan mereka.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata penduduk yang menahan remaja berusia 12 hingga 16 tahun itu kemudian menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan polis mendapati, remaja berkenaan yang juga penduduk flet itu memecah masuk kereta berkenaan bagi meleraikan beberapa peralatan sebelum menjualnya kepada orang awam dengan harga murah.

“Remaja terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan percaya itu kes pertama dilakukan mereka, namun siasatan terperinci sedang dilakukan,” katanya di sini, semalam.

Mohan Singh berkata, pihaknya akan mendapatkan tempoh tahanan reman bagi tiga suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian berasingan, Mohan Singh berkata, seorang warga tua berusia 65 tahun antara enam lelaki ditahan polis ketika leka berjudi di kawasan terbuka di sebuah gerai di depan sebuah flet Jalan Cheras, di sini petang kelmarin.

Katanya, kejadian kira-kira jam 6 petang itu ketika semua lelaki berusia 26 hingga 65 tahun sedang leka, sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis menyerbu kawasan terbabit.
Berita Harian Online | Tiga pelajar dicekup pecah masuk kereta:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment