KUALA LUMPUR - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang suri rumah melibatkan pelbagai barangan peribadi bernilai RM150,000, bulan lepas.
M. Anathan, 26, K. Perrira, 27 dan L. Thirurarukkarash, 22, didakwa merompak wang tunai, barang kemas, tiga geran iaitu hartanah, kereta dan rumah, lima keping pasport, tiga keping kad kredit serta beberapa dokumen peribadi milik Lee Chok Ha, 41.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan bersenjatankan sebilah parang di No 1 Jalan 40, Desaraya Kepong, Gombak, pada 9.30 pagi, 1 Nov lepas.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Beliau menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan semula kes.
Pihak pembelaan yang diketuai peguam P. Gunalan manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd Zawawi.