Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

Tiga direman kes bunuh Rozana




TIGA suspek kes pembunuhan Rozana Mohd. Yusak direman seminggu bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret Selayang, semalam. - IHSAN China Press.


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Misteri pembunuhan seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditikam sebanyak 15 kali di sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jaya, Kepong dekat sini minggu lalu, terungkai apabila polis menahan tiga lelaki petang semalam.
Dua daripada suspek masing-masing berusia 19 tahun ditahan di sekitar Lembah Pantai di sini manakala seorang lagi suspek yang berusia 22 tahun ditahan di Kampung Datuk Keramat.
Polis hari ini mendapat perintah untuk menahan reman ketiga-tiga suspek selama seminggu bagi membantu siasatan pembunuhan kejam itu, di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Semua suspek dibawa ke mahkamah pukul 10.30 pagi ini untuk ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, polis menemui pisau panjang buatan sendiri dan pisau dapur daripada suspek, dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, selain sebuah komputer riba milik mangsa daripada suspek berusia 22 tahun.
Rozana, 35, ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong pada 21 Disember lalu.
Sementara itu, sumber memberitahu penahanan dua suspek belasan tahun itu, salah seorangnya teman rapat mangsa membawa kepada cerita sebenar di sebalik pembunuhan kejam wanita itu.
Dipercayai, pembunuhan itu bermotifkan samun apabila ketiga-tiga suspek datang ke rumah Rozana untuk menyamun wang serta barangan peribadi milik mangsa.
Ketiga kejadian, dua daripada suspek termasuk teman rapat mangsa naik ke rumah kedai tersebut manakala seorang rakannya berusia 19 tahun menunggu di bawah.
"Dipercayai, teman rapat mangsa ingin mengambil wang dan komputer riba milik mangsa untuk dijual kepada lelaki yang berusia 22 tahun.
"Mereka berdua memasuki rumah itu secara senyap-senyap dan bercadang mengambil komputer riba berkenaan ketika mangsa sedang tidur," katanya.
Bagaimanapun, difahamkan, mangsa menyedari kehadiran suspek dan bertindak menghalang perbuatan kedua-dua mereka.
"Berlaku pergaduhan antara mangsa dengan suspek sehingga menjadikan keadaan bertambah tegang. Dalam keadaan kelam kabut itu, mangsa ditikam bertubi-tubi sebelum dia ditemui orang awam dalam keadaan nyawa-nyawa ikan," jelas sumber berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini, enggan mengulas mengenai penangkapan ketiga-tiga suspek sebaliknya memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan esok.
-utusan

No comments:

Post a Comment