Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Tiga beranak diikat penyamun

HULU SELANGOR: Tiga beranak berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Bandar Sungai Buaya, di sini, dimasuki tiga penyamun bersenjatakan parang dan pemutar skru sebelum mengikat tangan dan kaki mereka.

Difahamkan, mangsa yang sedang tidur terkejut sebaik menyedari kehadiran penyamun terbabit sebelum barang berharga milik keluarga mangsa dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM10,000.


Menurut sumber, mangsa hanya berjaya membebaskan diri daripada ikatan kira-kira tiga jam selepas kejadian sebelum ke Balai Polis Bukit Sentosa membuat laporan, kelmarin.

“Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, pasangan suami isteri dan anak perempuannya sedang tidur di dalam dua bilik berasingan sebelum si suami mendengar bunyi bising.


“Mangsa cuba keluar untuk melihat apa yang berlaku, namun terkejut sebaik menyedari kehadiran penyamun terbabit sebelum mereka mengacukan parang dan pemutar skru kepada mangsa,” katanya.


Sumber berkata, mangsa diarah masuk semula ke dalam bilik sebelum kedua-dua tangan dan kaki mangsa dan isteri diikat dengan dawai.

“Suspek yang dipercayai warga asing itu mendesak mangsa menyerahkan barang berharga. Mereka menarik isteri mangsa menunjukkan tempat simpanan barang kemas.


“Sebaik mengambil semua barang kemas milik mangsa, mereka menolak wanita terbabit masuk ke dalam bilik anak perempuannya dan turut mengikat tangan dan kaki anaknya itu,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan dipercayai dipandu seorang lagi suspek yang menunggu di luar rumah.


Menyedari suspek melarikan diri, mangsa berusaha melepaskan diri dan berjaya meleraikan ikatan tiga jam kemudian.


Sumber berkata, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati barang kemas, barangan elektrik dan wang tunai bernilai lebih RM10,000 dilarikan suspek.

myMetro | Tiga beranak diikat penyamun:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment