Terlepas tali gantung
GEORGETOWN - Seorang pembantu kedai makan terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan penjara 18 tahun dan 10 sebatan apabila dia didapati bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki dadah jenis ganja seberat 1,941 gram, awal Januari lalu.

Hakim, Datuk Zamani A Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Noor Azman Abidin, 40, selepas mengambil kira hujahan serta jawapan pendakwa dan peguam.

“Saya simpati kerana itu saya pinda pertuduhan yang difailkan oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati.

“Sebenarnya saya ingin menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun terhadap tertuduh, tetapi dalam mengguna budi bicara dan keadaan sekeliling, saya menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun bermula tarikh tertuduh ditangkap,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Noor Azman didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 1,941 gram di kawasan letak kereta belakang Pasar Raya Sunshine, Air Itam, di sini, jam 3 petang, 5 Januari 2011.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saliza Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Terdahulu dalam prosiding, peguam tertuduh, Hussaini memohon jasa baik mahkamah untuk meringankan hukuman penjara kepada tempoh yang singkat bukan seumur hidup bagi memastikan kehidupan keluarganya terjamin.

“Tertuduh yang bekerja di warung bapanya di Batu Lanchang, di sini mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja sewaktu ditangkap dan tiga anak yang masih kecil.

“Malah, tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Sementara itu, Saliza berkata, tertuduh seharusnya berterima kasih kerana mahkamah mengarahkan dakwaan dipinda tetapi demi kepentingan masyarakat, hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan ia semakin berleluasa. Walaupun undang-undang dijalankan tetapi tangkapan sering kali dilakukan.

“Hukuman berat dan pengajaran perlu diberikan terhadap tertuduh untuk tidak menjebakkan diri dalam kegiatan salah laku dadah,” katanya.