Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Suami mangsa rempuh motosikal dua peragut

KUALA TERENGGANU: Seorang daripada dua peragut bukan saja berputih mata kerana gagal melakukan jenayah malah menerima padah apabila cedera akibat tercampak ke dalam longkang selepas motosikal dinaikinya dirempuh kereta suami mangsa dalam kejadian di Jalan Hiliran, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum itu pada jam 1.05 tengah hari, dua suspek terbabit yang menaiki sebuah motosikal cuba meragut beg sandang milik seorang wanita berusia 20-an yang melintas jalan bersama suaminya di Jalan Sultan Ismail, di sini.


Menurutnya, tindakan suspek itu bagaimanapun gagal apabila suami wanita terbabit yang berusia 31 tahun mematahkan cubaan ragut berkenaan dengan menepis tangan suspek sebelum kedua-dua lelaki terbabit memecut motosikal dinaiki meninggalkan tempat kejadian.

“Suspek kemudian mencari mangsa seterusnya di Jalan Hiliran, di sini, dengan meragut beg sandang milik seorang lelaki yang juga pesara berusia 57 tahun berasal dari Kampung Baru Lembah Bidong, Setiu, pada jam 1.20 tengah hari.


“Bagaimanapun nasib suspek tidak baik apabila perbuatan mereka meragut beg pesara itu dilihat suami kepada wanita yang sebelum ini menjadi mangsa dan secara kebetulan lalu di situ.


“Berang melihat dua suspek terbabit meragut beg pesara itu, lelaki berkenaan terus memecut keretanya mengejar suspek sejauh 500 meter sebelum merempuh motosikal ditunggang suspek dari arah belakang,” katanya.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu salah seorang suspek yang membonceng motosikal berkenaan tercampak ke dalam longkang dan ditahan orang awam yang berada di tempat kejadian manakala rakannya sempat melarikan diri dengan memecut motosikal ditunggangnya meninggalkan kawasan terbabit.


Katanya, beg pesara terbabit juga diperoleh kembali daripada suspek yang terjatuh itu.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati suspek terbabit seorang penganggur berusia 30 tahun berasal dari Kampung Chabang Tiga, di sini, dan saringan awal ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin.

myMetro | Suami mangsa rempuh motosikal dua peragut:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment